Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

RM1.5 juta baik pulih masjid, surau dan SRA Kuala Langat

OLEH ERMIZI MUHAMAD

KUALA LANGAT, 3 FEB: Kerajaan Negeri menyalurkan bantuan kewangan RM1.5 juta kepada 11 masjid, surau dan sekolah rendah agama (SRA) di daerah Kuala Langat, tahun ini.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, peruntukan itu diluluskan selaras komitmen Kerajaan Negeri untuk membangunkan masjid dan sekolah rendah agama sebagai pusat pengajian serta medium pembangunan pendidikan Islam negeri.

Katanya, komitmen itu juga dizahirkan selepas mengambil kira keperluan penambahbaikan fasiliti dan tumpuan program pembangunan di kawasan luar bandar Selangor.

MB Kuala Langat (3)“Kerajaan Negeri yakin bantuan ini mampu mengukuhkan lagi peranan institusi masjid dan sekolah rendah agama di Kuala Langat ini sebagai medium dakwah pembangunan Islam sejagat.

“Bahkan, saya secara peribadi akan terus memberi sokongan dan dukungan yang konsisten untuk menyokong sebarang usaha ke arah penambahbaikan institusi keagamaan dan pendidikan di Selangor,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyampaian Bantuan di Masjid Al-Ikhsan, Kampung Sungai Lang Tengah sempena Program Turun Padang Dato’ Menteri Besar di daerah Kuala Langat, di sini, hari ini.

Turut sama mengiringi Dato’ Menteri Besar, Exco Agama Islam, Adat Melayu dan Pembangunan Desa, Dato’ Dr Ahmad Yunos Hairi dan Exco Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Permodenan Pertanian dan Industri, Zaidy Abdul Talib.

Pada masa sama, tiga masjid di daerah itu menerima bantuan RM150,000 iaitu Masjid Ar Rahman Sungai Manggis, Masjid Nurul Iman Batu 10 dan Masjid Ar Rahmaniah Sungai Lang Baru.

Sementara itu, RM50,000 disalurkan kepada Masjid Al Ehsan Sungai Lang, Surau Taman Seri Desa, Surau Taman Damai, Surau An Najah dan Surau Al Jaffar Batu 9.

RM150,000 pula disalurkan masing-masingg kepada Sekolah Rendah Agama Kanchong Darat dan Sekolah Rendah Agama Seri Cheeding.

-NFN-