Categories
BERITA UTAMA SUKANKINI

RMS garis 7 langkah pembaharuan FAS

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 16 FEB: DYTM Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah mengenal pasti beberapa langkah pembaharuan yang perlu diambil dalam usaha memulih dan membangunkan semula Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS).

Menerusi akaun Facebook rasminya, Raja Muda Selangor itu menggariskan tujuh langkah sebagai usaha rombakan drastik demi mewujudkan barisan pengurusan cekap dengan meletakkan pembangunan bola sepak sebagai keutamaan FAS.

Titah baginda, badan induk bola sepak negeri itu memerlukan individu berpengalaman, selain disokong pasukan berkebolehan yang dapat membantu dalam menerajui usaha rombaka yang bakal dilaksanakan nanti.

“Jawatan Presiden tidak boleh dipegang lebih dari dua penggal dengan kriteria adalah individu tidak terbabit secara langsung dalam politik dan bukan golongan gemar membuat kacau serta mengganggu ketenteraman orang ramai.

“Empat ahli EXCO kanan dan Setiausaha Agung pula mesti dilantik Presiden FAS dan jawatan tidak boleh dipegang orang sama lebih dari dua penggal berturut-turut serta mesti terdiri daripada 60 peratus muka baharu,” titah baginda.

Raja Muda KLIA2 (5)Pada masa sama, baginda menggesa FAS memberi lebih kuasa eksekutif kepada Presiden supaya setiap perkara yang dilaksanakan lebih efektif berteraskan petunjuk prestasi utama (KPI) bagi memberi impak positif kepada kemajuan bola sepak negeri itu.

Baginda turut mengakui ketika ini adalah masa kritikal bagi FAS memulihkan keadaan yang sangat tenat dan merealisasikan potensi sebenar pasukan The Red Giants.

“Ahli gabungan juga perlu bergiat aktif jika mahu mengundi dan cara ini boleh dicapai dengan pembabitan mereka dalam usaha pembangunan bola sepak dan menyampaikan laporan berkala kepada FAS.

“Seluruh kepemimpinan FAS perlu memikul tanggungjawab dan akauntabiliti supaya posisi dan kewangan juga sentiasa kukuh serta tidak bergantung kepada pembiayaan Kerajaan Negeri secara berterusan,” titah baginda.

Baginda turut menyarankan FAS meningkatkan pembangunan bola sepak di negeri itu dan bekerjasama rapat dengan ahli kelab gabungan, pertandingan bola sepak komuniti juga badan sektor awam serta swasta bagi menyumbang kepada pembangunan akar umbi dan peringkat belia di Selangor.

-AA-