Categories
SELANGOR

Van jenazah tak patut jadi mangsa politik Jamal

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 16 FEB: Van jenazah tidak sepatutnya dijadikan bahan politik individu tidak bertanggungjawab seperti Pengerusi Gabungan NGO Malaysia, Datuk Seri Jamal Md Yunus, tegas wakil rakyat DAP.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Kampung Tunku, Lau Weng San berkata, van jenazah adalah aset masjid bertujuan memudahkan urusan kematian atau pengebumian ahli kariah dan masyarakat Islam setempat.

Katanya, kebanyakan van berkenaan merupakan hasil sumbangan Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri mahupun dibeli menerusi sumbangan orang awam.

“Perkara ini serius kerana rakyat Selangor seringkali diingatkan bahawa institusi agama Islam tidak boleh dijadikan medan berpolitik oleh mereka yang tidak bertanggungjawab.

“Maka, harta masjid seperti van jenazah tidak boleh sewenang-wenangnya disalahgunakan Jamal untuk agenda politiknya sendiri,” katanya dalam kenyataan.

lau-weng-sanBeliau turut menggesa Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) melakukan siasatan dan mengambil tindakan tegas terhadap pengurusan masjid mahupun individu yang bersengkongkol dengan Jamal.

Semalam, Pengarah JAIS, Datuk Haris Kasim menyatakan rasa kesal pihaknya dengan tindakan manipulasi Jamal terhadap pengurusan masjid.

Katanya, terdapat individu yang mendakwa wakil Gabungan NGO Selangor menghubungi masjid untuk menyewa van jenazah bagi sesi penggambaran, kempen anti judi, pameran dan lain-lain.

“JAIS mohon semua Ahli Jawatankasa Masjid untuk lebih berhati-hati, pada masa hadapan bagi mengelak eksploitasi sama.

“Semak terlebih dahulu program bakal dilaksanakan mana-mana pihak membabitkan institusi masjid supaya tidak disalahgunakan lagi,” katanya.

-nR-