Categories
SELANGOR

Selangor Smart Life tanggung kos selenggara lif pangsapuri

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 17 FEB: Kerajaan Negeri memperkenalkan program ‘Selangor Smart Life’ dengan peruntukan RM30 juta bagi membiayai kos penyelenggaraan lif di semua pangsapuri kos rendah dalam usaha membantu penduduk menguruskan pembangunan mereka.

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar, Dato’ Iskandar Abdul Samad berkata, pembiayaan itu membabitkan 405 lif di 126 pembangunan kelolaan Badan Pengurusan Bersama (JMB) dan agen pengurusan.

Katanya, Kerajaan Negeri akan membayar terus kepada firma-firma kompeten yang akan menyelenggarakan lif-lif terbabit.

“Kos keseluruhan yang diperuntukan oleh kerajaan negeri adalah RM8 juta untuk tempoh 12 bulan.

ISKANDAR SAMAD“Kos sebulan untuk setiap lif bagi kontrak penyelenggaraan komprehensif yang akan digunapakai adalah dianggarkan RM1,600 sebulan atau RM19,200 setahun,” katanya dalam kenyataan.

Sebelum itu, Kerajaan Negeri membaikpulih 88 buah lif tidak berfungsi terlebih dahulu melibatkan kos RM22 juta yang akan ditanggung sepenuhnya dan kos bagi setiap lif adalah RM250,000.

Terdahulu, dalam Belanjawan 2017, Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmi Ali mengumumkan peruntukan RM55 juta untuk pengindahan dan membaikpulih pangsapuri-pangsapuri di Selangor.

Ia membabitkan RM 30 juta pembaikian lif dan RM 25 juta untuk Skim Baikpulih Negeri Berkebajikan atau CERIA dan PERMAI CERIA.

“Dengan adanya program baru ini, diharap dapat meringankan sebahagian dari beban penduduk untuk menyelenggarakan pembangunan mereka.

“Kerajaan Negeri sekarang terbukti dapat memberi pembelaan kepada kepada rakyat. Memang tidak dinafikan gandingan yang mantap yang wujud hari ini amat diyakini oleh rakyat kerana dapat memberikan tumpuan sepenuhnya kepada kebajikan mereka,” katanya.

-nR-