Categories
NASIONAL

Skandal MARA: Tiada angin masakan pokok tak goyang

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 1 FEB: Penggantungan Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) membuktikan wujudnya salahlaku membabitkan intergriti Pengerusinya, Tan Sri Annuar Musa.

Ahli Parlimen Lumut, Laksamana Imran Abdul Hamid percaya, wujudnya salahlaku membabitkan pengurusan tertinggi MARA yang memerlukan siasatan telus Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Persoalannya mudah, pokok tidak bergoyang kalau tiada angin. Nasihat saya kepada Annuar Musa, sudah buat beranilah tanggung.

“Sekarang ini bergantung kepada SPRM untuk menjalankan siasatan secara telus atau melindungi perasuah,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Semalam, pengurusan tertinggi MARA mengumumkan pergantungan Annuar dicapai menerusi mesyuarat tergempar yang diadakan di Ibu Pejabat MARA.

Bagaimanapun, ketika keputusan tersebut dibuat, Annuar berada di luar negara atas urusan kerja.

Annuar sebelum ini dikaitkan dengan penyalahgunaan wang MARA dan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) bagi tajaan pasukan bola sepak The Red Warrior (TRW).

Terdahulu, Tunku Mahkota Johor (TMJ) menerusi beberapa dokumen dimuat naik di laman Facebook Johor Southern Tigers yang menunjukkan bahawa UniKL terpaksa mengurangkan biasiswa pelajar Malaysia dari RM2 bilion kepada RM1.3 bilion bagi 2016.

Bercakap lanjut, Imran tidak terkejut dengan amalan dan kelemahan budaya integriti pimpinan Umno kini yang lebih mengutamakan politik wang dalam mengurus tadbir negara.

=EZY=