Categories
NASIONAL

Suaram: Penahanan kanak-kanak Rohingya langgar hak asasi manusia

OLEH HAFIZAN TAIB

PETALING JAYA, 23 FEB: Suara Rakyat Malaysia (Suaram) mengutuk sekeras-kerasnya tindakan pihak berkuasa di negara ini menahan pelarian kanak-kanak Rohingya kerana ia melanggar hak asasi manusia.

Pengarah Eksekutifnya, Sevan Doraisamy berkata, tindakan itu serta pendakwaan ke atas kana-kanak 15 tahun kerana tidak memiliki dokumen perjalanan sah oleh institusi kerajaan menggambarkan penindasan terhadap komuniti berkenaan.

“Pelarian kekal sebagai satu daripada komuniti paling terpinggir di Malaysia berikutan keengganan berterusan institusi kerajaan mengakui kewujudan mereka.

“Vakum undang-undang dari segi hak dan pengiktirafan diwujudkan kerajaan menyumbang kepada eksploitasi meluas pelarian di negara ini serta membolehkan aktiviti pemerdagangan manusia terus berlaku,” katanya dalam kenyataan.

DORAISAMY SUARAMBeliau berkata, walaupun kanak-kanak itu seorang pelarian di bawah umur tetapi Mahkamah Majistret menolak hujah peguam untuk menggugurkan kes serta tidak membenarkan ikat jamin.

Akibat tindakan itu, katanya, kanak-kanak ditahan hingga kini dengan laporan dikeluarkan seorang pakar psikologi menunjukkan kesan buruk terhadap pertumbuhan mentalnya.

“Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dilihat lantang dalam krisis di Rohingya namun, perlindungan masyarakat Rohingya di Malaysia masih tidak wujud dan kepura-puraan ditunjukkan kerajaan dalam perkara ini jelas menunjukkan percubaan mempolitikkan krisis kemanusiaan.

“Penahanan lanjut kanak-kanak ini menbuktikan kegagalan kerajaan dalam memenuhi obligasi di bawah Perkara 22 Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Hak Kanak-Kanak di mana kerajaan bertanggungjawab untuk menyediakan perlindungan sewajarnya kepada anak-anak pelarian,” katanya.

-nR-