Categories
SELANGOR

Pengerusi JMB setuju Kerajaan Negeri ambil alih

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 23 FEB: Beberapa Pengerusi Badan Pengurusan Bersama (JMB) menyokong cadangan Jawatankuasa Bertindak Flat Kos Rendah supaya Kerajaan Negeri mengambilalih masalah penyelenggaraan pangsapuri kos rendah di Selangor.

Pengerusi JMB Pangsapuri Sri Kundang, Hulu Langat, Adli Nasir, 60, berkata pihaknya berhadapan masalah kutipan penyelenggaraan setiap bulan walaupun hanya mengenakan caj RM43 bagi setiap 110 unit kediaman.

Menurutnya, kegagalan penghuni menjelaskan bayaran menyukarkan pangsapuri diselenggara dengan baik kerana hanyan 60 peratus sahaja memberikan kerjasama.

“Rata-rata masalah pembayaran memang tertunggak dan mengakibatkan kerja-kerja penyelenggaraan tertunggak. Sekurang-kurangnya kita perlu menyediakan kos RM3,000 hingga RM4,000 sebulan.

DSC_7455“Itu tidak termasuk insurans dan bayaran lain. Mujur pangsapuri kami hanya lima tingkat, jika melibatkan lif ia bakal lebih menimbulkan masalah.

“Kita bersedia membayar cukai pintu dua kali setahun asalkan penyelenggaraan ditanggung Kerajaan Negeri,” katanya.

G Suresh, 48, selaku pengerusi JMB Pangsapuri Seri Permai Kampung Baru Semenyih yang mempunyai 124 unit kediaman berkata, pihaknya hanya mampu mengutip 50 peratus yuran penyelenggaraan walaupun hanya berjumlah RM39 sebulan.

“Setiap bulan duit tidak cukup hingga kami terpaksa berhutang dengan Tenaga Nasional Berhad (TNB). Kami sekurang-kurangnya memerlukan RM2,000 sebulan untuk menyelenggara pangsapuri,” katanya.

Pandangan sama turut dikongsikan Pengerusi JMB Pangsapuri Taman Kemacahaya, Cheras, Mohd Zanizam Ghazali yang melihat kebanyakkan JMB berdepan tekanan setiap bulan kerana penghuni berharap pangsapuri dapat diselenggara dengan sempurna.

“Dana yang kita ada 100 peratus bergantung kepada kutipan penyelenggaraan. Kalau kita tetapkan pada harga yang tinggi misalnya RM70 sebulan untuk kawasan saya yang terdiri daripada 100 unit sudah tentu tiada yang akan bayar.

“Sekarang kita tetapkan RM35 sebulan tetapi tidak sampai 50 peratus yang dapat kami kutip. Jadi kami menyokong cadangan ini,” katanya.

Hari ini mereka bersama hadir mengemukakan surat permohonan temujanji bagi membincangkan masalah pangsapuri kos rendah di Selangor kepada Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali dan Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar, Dato’ Iskandar Abdul Samad di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.

Jawatankuasa yang mewakili 42 buah pangsapuri kos rendah di kawasan Hulu Langat itu antaranya mengemukakan masalah berhubung penyelenggaraan, kemudahan awam dan yuran insurans serta audit yang mahal.

-nR-