Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Thaipusam: MB sampaikan sumbangan RM380,000 kepada 28 kuil

OLEH AFIX REDZUAN

BATU CAVES, 9 FEB: Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali menyampaikan sumbangan kepada rumah ibadat bukan Islam berjumlah RM380,000 kepada 28 buah kuil bersempena sambutan Thaipusam Peringkat Selangor.

Dalam ucapannya beliau berkata, kehadiran orang Melayu dan Cina sempena sambutan Thaipusam sebagai tanda hormat muafakat berbilang kaum di Malaysia.

“Saya mahu masyarakat dan komuniti termasuk rakyat dari negeri lain yang datang ke Selangor bukan kerana ekonomi yang pesat semata-mata, kita mahu mereka datang kerana ada masyarakat bertoleransi serta hormat-menghormati,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Cek Bagi Rumah Ibadat Bukan Islam Negeri Selangor di perkarangan luar Kuil Batu Malai Sri Subramaniar, semalam.

Katanya, komuniti India di Selangor mendapat hak sama seperti kaum lain dalam menikmati kemudahan dan bantuan disalurkan Kerajaan Negeri.

“Generasi muda India berpotensi untuk berjaya dalam bidang keusahawanan.

“Kerajaan Negeri memperuntukkan RM1 juta bagi merealisasikan ‘Selangor Indian Entrepreneurship and Capacity-Building Program: Towards Economic Resilience, Empowerment and Upward Mobility’,” katanya.

Selain itu, Kerajaan Negeri turut memberikan jaminan akses pendidikan lebih kondusif dengan meluluskan pembinaan Asrama Anak Pekerja Ladang.

=EZY=