Categories
NASIONAL

Tiada kesan jarum atau suntikan

SHAH ALAM 21 FEB: Pemeriksaan awal mendapati tiada sebarang kesan jarum atau suntikan serta kecederaan pada tubuh abang pemimpin Korea Utara, Kim Jong-nam, yang dibunuh minggu lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata ia berdasarkan bedah siasat dijalankan ke atas mangsa di Institut Perubatan Forensik Negara (IPFN) Hospital Kuala Lumpur pada 15 Februari lalu, lapor BH Online.

Sementara itu beliau dalam satu kenyataan media menyatakan Institut Perubatan Forensik Negara di Hospital Kuala Lumpur menerima satu mayat lelaki warnanegara Korea Utara pada 15 Februari 2017, pukul 10.00 pagi daripada Pegawai Penyiasat Polis untuk menjalankan pemeriksaan bedah siasat.

Pemeriksaan bedah siasat dijalankan pada jam 12:45 petang, 15 Februari 2017 dan pemeriksaan selesai pada jam 6:45 petang pada hari sama.

“Pemeriksaan ini dijalankan mengikut ketetapan dalam Seksyen 331 Kanun Prosedur Jenayah dan turut dihadiri Pegawai Penyiasat Polis.

“Pasukan bedah siasat ini dianggotai Pakar Perunding Kanan Forensik, Pakar Radiologi Forensik dan Pakar Odontologi Forensik, yang sememangnya merupakan pakar bertauliah dan berpengalaman luas,” katanya.

Beliau berkata mayat itu telah menjalani pemeriksaan bedah siasat yang lengkap termasuklah ujian Computer Tomography, bedah siasat luaran dan dalaman, dan pemeriksaan forensik pergigian.

Pengendalian mayat dikendalikan dengan penuh hormat dan spesimen medikolegal yang telah diambil juga telah dikendalikan mengikut peruntukan undang-undang untuk menjaga rantaian bukti.

“Spesimen medikolegal tersebut telah diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Polis sejurus selepas pemeriksaan bedah siasat untuk dihantar ke makmal yang telah diakreditasi untuk menjalankan analisa.

“Analisis ini adalah bertujuan untuk mengesahkan identiti si mati dan juga punca kematian, di mana keputusan makmal masih dalam proses. Tiada bedah siasat kedua dijalankan ke atas mayat si mati,” katanya.

=EZY=