Categories
NASIONAL

Tanya tentang PERMATA, tapi laporan tak ada

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 21 FEB: Ahli Dewan Negeri (ADN) Damansara Utama, Yeo Bee Yin menafikan menerima laporan berkenaan isu program Permata Negara seperti diutarakan Pembantu isteri Perdana Menteri, Datuk Rizal Mansor.

Bee Yin memaklumkan pihaknya sebelum ini menuntut PERMATA mendedahkan akaun program mereka, bagaimanapun PERMATA meminta pihaknya menulis surat kepada Peguam Negara jika ingin melihat akaun itu.

“Tetapi pihak Peguam Negara menjawab bahawa akaun yang sudah diaudit dikembalikan kepada PERMATA dan mereka menyuruh kita meminta dari PERMATA.

yeo-bee-yin-kidex“Kami kemudian menulis kepada PERMATA untuk melihat akaun program itu, tetapi mereka membalasnya pada 10 Januari lalu dengan mengatakan bahawa tiada keperluan bagi mereka mendedahkan akaun tersebut,” katanya dalam kenyataan.

Beliau mendakwa wakil DAP dalam lawatan ke PERMATA sebelum ini pernah mencadangkan program itu diletakkan bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dan bukannya di bawah Jabatan Perdana Menteri.

Katanya, cadangan itu selari dengan pendapat rakan-rakannya dalam gabungan Harapan.

“Namun, nampaknya beliau mempunyai ingatan terpilih tentang apa yang kami bincangkan tentang PERMATA,” katanya.

Semalam, Rizal meminta Pakatan Harapan merujuk kepada Bee Yin bagi mendapat penjelasan mengenai program PERMATA yang dinaungi Rosmah Mansor kerana wakil DAP itu diberi penerangan berkaitannya.

Kenyataan itu dikeluarkan bagi menjawab tiga pemimpin kanan HARAPAN, Khalid Samad (AMANAH), Saifuddin Abdullah (KEADILAN) dan Liew Chin Tong (DAP).

Terdahulu, Pakatan Harapan menuntut beberapa badan, termasuk PERMATA dimansuhkan bagi mengurangkan perbelanjaan kerajaan.

-nR-