Categories
EKONOMI

UOB: Ekonomi negara 2016 diramal pada kadar 4.2%

KUALA LUMPUR 7 FEB: Ekonomi negara diramal pada kadar 4.2 peratus bagi tahun penuh 2016 berdasarkan prestasi bulan terakhir 2016.

Pakar Ekonomi UOB Bank, Julia Goh berkata sejak November 2016, ekonomi negara menunjukkan kestabilan selepas merekodkan pertumbuhan 4.3 peratus pada suku ketiga.

“Berdasarkan petunjuk pada November dan suku ketiga, ia menunjukkan ekonomi kembali stabil. Dengan mengambil semua data ini termasuk data eksport dan pengeluaran industri, negara akan merekodkan pertumbuhan KDNK stabil suku ke empat.

“Perincian dikeluarkan minggu hadapan, kami unjurkan sekitar 4.2 hingga 4.4 peratus, jadi bagi tahun penuh 2016, ekonomi dijangka berada pada 4.2 peratus,” katanya dipetik Astro Awani.

Katanya bagi tahun ini, ekonomi diunjur tumbuh 4.5 peratus, namun ia masih bergantung kepada perkembangan luar terutama selepas Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump membentangkan dasar ekonominya.

Meskipun ekonomi diramal tumbuh baik, namun Julia berkata rakyat kurang merasai manfaat ekonomi sebenar.

Dalam pada itu, Julia berkata dasar Trump yang anti China dijangka menjejaskan eksport negara sekiranya ia benar benar dilaksanakan.

“Bagi Malaysia dan Asia, kegusaran utama sama ada dasar beliau akan mencetuskan perang dagangan dengan China, kerana Amerika dan China merupakan rakan dagang besar kepada kita dan rantau ini.

“Malah apa sahaja dasar yang dilihat bakal menjejaskan Amerika akan menjejaskan rantau ini,” katanya.

=EZY=