Categories
BERITA UTAMA GLOBAL

Agensi Berita Reuters lancar perang terhadap Trump

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 7 FEB: Agensi berita antarabangsa, Reuters menyarankan wartawannya melayan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump sebagai seorang diktator asing.

Ketua Pengarangnya, Steve Adler mengakui pentadbiran Trump memberi cabaran baru kepada dunia kewartawanan negara Uncle Sam itu.

Katanya, media AS kini berdepan pentadbiran yang aktif menyebarkan berita palsu.

“Bagaimanapun, kami sudah tahu bagaimana mahu berhadapan dengan mereka kerana kami melakukannya setiap hari di serata dunia.

“Reuters ialah sebuah organisasi berita global yang melapor secara bebas dan adil di lebih 100 negara termasuk tempat di mana media tidak diundang dan sering diserang.

“Saya sentiasa berbangga dengan tugasan kami di Turki, Filipina, Mesir, Iraq, Yaman, Thailand, China, Zimbabwe, Rusia dan negara di mana terdapat isu penapisan, pendakwaan undang-undang, penafian visa serta ancaman fizikal terhadap wartawan kami,” katanya dalam satu memo diedarkan kepada semua kakitangan Reuters pada 31 Januari lalu.

Adler turut menggesa wartawan untuk tidak terlalu memikirkan halangan yang ada dan menjadi lebih pintar dalam mencari sumber sekiranya akses disekat pentadbiran Rumah Putih.

“Kami tidak pasti bagaimana tajam serangan pentadbiran Trump atau sejauh mana serangan berkenaan bakal diiringi sekatan undang-undang terhadap carian berita kami.

“Tetapi yang pasti, kami perlu mengikuti peraturan sama yang mengawal kerja kami walau di mana sahaja,” katanya.

Memo sama turut disertakan senarai perkara ‘boleh dibuat’ dan ‘tidak boleh dibuat’ oleh wartawan Reuters.

Antaranya; ‘usah risaukan mengenai akses rasmi seperti laporan kita di Iran yang sangat mengagumkan walaupun tanpa akses rasmi kerana kita ada ‘sumber’.

Terdahulu, Trump menggelar wartawan sebagai ‘manusia paling tidak jujur di atas muka bumi’.

Beliau dan pentadbirannya turut mengugut dan mengganggu wartawan yang menulis berita tidak menyebelahi mereka.

=EZY=