Categories
PENDIDIKAN

UPKK: 46,461 calon peroleh 8A

PUTRAJAYA 15 FEB: Seramai 46,461 calon (23.9 peratus) yang menduduki Ujian Penilaian Kelas Kafa (UPKK) 2016 memperoleh 8A, peningkatan empat peratus berbanding tahun lalu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, berkata semua calon mencatat kelulusan 100 peratus, pencapaian selama tiga tahun berturut-turut bagi peperiksaan itu sejak 2014, lapor BH ONLINE.

“Mata pelajaran Amali Solat dan Penghayatan Cara Hidup Islam (PCHI) mencatat kadar lulus tertinggi iaitu 99.9 peratus, diikuti mata pelajaran al-Quran yang mencatat 99.6 peratus kelulusan.

“Pencapaian ini menunjukkan kejayaan pelajar dalam menguasai ibadat solat, Tilawah Al-Quran dan mengamalkan cara hidup Islam dalam kehidupan seharian,” katanya pada sidang media pengumuman keputusan UPKK 2016 di sini, hari ini.

Bagi mata pelajaran lain, Jawi dan Khat mencatat kelulusan (94.23 peratus), Lughatul Quran (91.83 peratus) dan Adab (Akhlak Islamiah) (90.48 peratus).

Seramai 194,258 calon menduduki peperiksaan itu 4,469 pusat peperiksaan seluruh negara.

Keputusan UPKK 2016 boleh disemak secara atas talian dan SMS bermula jam 11 pagi, serta di sekolah bermula jam 3 petang.

=EZY=