Categories
NASIONAL

Apa yang berlaku di Malaysia hari ini?

Rangkuman BERITA NASIONAL sehingga jam 03.00 PETANG, 28 MAC 2017 seperti dilaporkan agensi media:

 
1. PUTATAN, SABAH: Hampir 50 penghuni hilang tempat tinggal selepas enam rumah atas air didiami mereka di Tanjung Dumpil di sini, musnah dalam kebakaran, pagi tadi.

Kejadian kira-kira jam 9 pagi itu dipercayai bermula dari sebuah rumah sebelum merebak dengan cepat, namun tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan. – BH ONLINE

 
2. KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan sedang menjalankan siasatan berhubung 10 produk stevia yang didakwa palsu dan dijual di pasaran bagi memastikan produk terbabit mematuhi perundangan makanan.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata siasatan itu susulan laporan sebuah akhbar bertajuk ‘Awas Stevia Palsu’ yang mendedahkan hasil ujian makmal dua universiti tempatan. – BERNAMA

 
3. KUALA LUMPUR: Mayat Kim Jong-nam, abang tiri kepada pemimpin Korea Utara Kim Jong-un, dikembalikan ke rumah mayat Hospital Kuala Lumpur (HKL) disebabkan oleh isu “teknikal”, dalam proses penghantaran pulang ke Macau.

Mayat Jong-nam dibawa balik ke bilik mayat kira-kira 9.15 malam tadi, sehari selepas ia dikeluarkan oleh pihak hospital untuk penghantaran pulang. – THE SUN

 
4. PETALING JAYA: Majikan teragak-agak untuk mengambil graduan baharu kerana jangkaan “tidak realistik” dan keengganan graduan belajar kemahiran baharu, kata wakil Persekutuan Majikan Malaysia (MEF).

Pengarah Eksekutif MEF Datuk Shamsuddin Bardan berkata ini situasi ekonomi semasa yang menyebabkan majikan kurang terbuka untuk mengambil risiko dan melatih kakitangan baharu. – FMT NEWS

 
5. JOHOR BAHRU: Seorang jurujual wanita mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Trafik di sini hari ini atas pertuduhan memandu secara melulu hingga menyebabkan kematian 8 remaja lelaki pada 18 Februari lepas.

Sam Ke Ting, 21, membuat pengakuan tersebut di hadapan Majistret Salina Omar selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Jalan Lingkaran Dalam di sini pada 3.20 pagi di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda tidak melebihi RM20,000 serta lesen memandu digantung, jika sabit kesalahan.
– BERNAMA

 
6. PETALING JAYA: Anak angkat kedua penyanyi Azharina Azhar iaitu Rizqie Azharin Azhar yang menghidap komplikasi pelbagai penyakit gagal diselamatkan dan meninggal dunia pada Selasa.

Adik Rizqie Azharin yang berusia hampir sebulan menghembuskan nafas terakhir di Hospital Putrajaya kira-kira pukul 10.30 pagi. – MSTAR ONLINE

 
7. KUALA LUMPUR: Larangan menjual rokok kepada individu berusia bawah 21 tahun adalah antara inti pati akta baharu yang akan digubal di Parlimen, selewat-lewatnya tahun depan.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya, berkata kawalan hasil tembakau dan merokok ketika ini tertakluk kepada Akta Kawalan Makanan 1983. – BH ONLIE

 
8. KUANTAN: Tengku Puan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menyeru ibu bapa agar melengkapi anak-anak dengan kemahiran asas renang sejak kecil untuk keselamatan diri dan mengelak daripada menjadi mangsa lemas.

Tunku Azizah bertitah walaupun ia bukan jaminan, namun sekurang-kurangnya mereka mempunyai pengetahuan asas yang mungkin dapat membantu anak-anak berkenaan menyelamatkan diri jika terjatuh ke sungai mahupun kolam. – BERNAMA

9.KOTA KINABALU: Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Ramli Din berkata tiga mangsa culik warga Malaysia yang diselamatkan pada malam Ahad dijangka dibawa pulang dalam masa terdekat. Katanya usaha ke arah itu sedang diambil. – BERNAMA

 
10. KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata Malaysia masih belum membuat keputusan sama ada mahu membeli jet pejuang Rafale buatan Dassault Aviation SA dari Perancis, selepas perbincangan dengan Perdana Menteri Perancis Francois Hollande. – REUTERS

 

DISEDIAKAN OLEH: MOHD EZLI MASHUT