Categories
SELANGOR

Program Pemutihan kilang haram lulus 1,223 lot tukar syarat tanah

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 28 MAC: Kerajaan Negeri meluluskan 1,223 daripada 1,346 lot permohonan tukar syarat tanah daripada pertanian kepada industri di sepanjang tempoh Program Pemutihan Kilang Tanpa Kebenaran (PPKTK).

Exco Kerajaan Tempatan, Pemutihan Kilang Haram dan Pembangunan Kampung Baru, Ean Yong Hian Wah, berkata berdasarkan rekod daripada bancian dibuat di sepanjang tempoh PPKTK dilancarkan pada 31 Julai 2016, terdapat lebih kurang 2,998 kilang dibina di atas 2,523 lot tanah pertanian.

“Di sepanjang tempoh program, kita meluluskan 1,223 daripada daripada 1346 lot permohonan dikemukakan manakala 1,154 lot masih belum berbuat demikian.

“Kerajaan Negeri memperoleh hasil kutipan bayaran premium RM185,683,976.54 daripada permohonan diluluskan,” katanya menjawab pertanyaan lisan Ahli Dewan Negeri (ADN) Bukit Gasing, R Rajiv; ADN Selat Klang, Dr Halimah Ali; ADN Kota Anggerik, Dr Yaakob Sapari dan ADN Sri Muda, Shuhaimi Shafiei dalam sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, Kerajaan Negeri menubuhkan Jawatankuasa Tetap Penyelesaian Kilang Haram untuk memantau dan memberi nasihat berkaitan proses pemutihan kilang haram.

Katanya, berdasarkan Pekeliling Pengarah Tanah dan Galian Selangor bilangan 1 2015, PPKTK di Selangor tamat pada 31 Disember 2015 dan tindakan penguatkuasaan dilaksanakan tertakluk kepada undang-undang sedia ada iaitu tindakan di bawah peruntukan Kanun Tanah Negara 1965, Akta Perancang Bandar dan Desa 1976 serta Akta Parit, Jalan dan Bangunan 1974.

“Pejabat Tanah dan Daerah (PTD) serta pihak berkuasa tempatan (PBT) sedang dan akan melaksanakan tindakan peguatkuasaan mengikut prosedur ditetapkan ke atas kilang tanpa kebenaran di Selangor.

“Dalam masa terdekat, tumpuan tindakan perobohan akan dijalankan kepada kilang atau bangunan haram dibina berhampiran sungai di Selangor terlebih dahulu,” katanya.

=EZY=