Categories
GLOBAL

ASEAN dan Rusia sepakat kukuh perkongsian pelbagai bidang

SHAH ALAM, 31 MAC: ASEAN dan Rusia sepakat untuk memperluas serta memperkukuhkan lagi perkongsian dalam pelbagai bidang pada Mesyuarat Pegawai-Pegawai Kanan ASEAN-Rusia (ARSOM) ke-14 yang berlangsung di Vientiane, Laos, pada 29 Mac lalu.

Dalam satu kenyataan lapor BERNAMA, ASEAN menyambut baik kecenderungan Rusia untuk memperkukuhkan kerjasama dalam bidang seperti sains, teknologi dan inovasi, kesihatan, pendidikan, pertanian dan keselamatan makanan, sumber tenaga, pengangkutan, pelancongan dan pengurangan risiko bencana.

Pegawai kanan turut bersetuju meneroka peluang dalam usaha meningkatkan kerjasama yang mempunyai kepentingan bersama seperti memerangi keganasan dan fahaman pelampau, jenayah merentasi sempadan, ancaman keselamatan bukan tradisional dan keselamatan siber melalui mesyuarat berkenaan.

arsom-rusiaMesyuarat itu mencapai kesepakatan meneroka kaedah mempercepatkan pelaksanaan cadangan serta mengukuhkan perkongsian seperti yang terkandung dalam tiga dokumen rangka kerja ASEAN-Rusia.

Mesyuarat itu dipengerusikan bersama Timbalan Menteri Luar Laos, Thongphane Savanphet dan rakan sejawatannya dari Rusia, Igor Morgulov.

“Tiga dokumen itu ialah Deklarasi Sochi (dikeluarkan sempena Sidang Kemuncak Sochi), Pelan Komprehensif Tindakan ASEAN-Rusia 2016-2020 dan Laporan Rusia-ASEAN Eminent Persons Group pada 2016 yang mengandungi cadangan menggerakkan perkongsian,” kata kenyataan berkenaan.

ASEAN juga bersetuju meneroka cadangan Rusia bagi mendapatkan perjanjian perdagangan bebas antara ASEAN dan Kesatuan Ekonomi Eurasia serta kepentingan membabitkan sektor perniagaan melalui misi perdagangan juga pameran.

Mesyuarat juga menyambut baik keputusan Rusia melantik duta khas ASEAN, sekali gus mencerminkan komitmen negara itu bagi meningkatkan pembabitan dengan blok berkenaan yang berpangkalan di Jakarta, menjelang Ogos ini.

Pada masa sama, pembabitan aktif Rusia dalam Forum Serantau ASEAN, Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN Campur dan Sidang Kemuncak Asia Timur disambut baik pegawai ASEAN.

Rusia juga akan menganjurkan beberapa acara khas termasuk persembahan kebudayaan sempena sambutan ulang tahun ke-50 ASEAN, tahun ini.

-NFN-