Categories
SELANGOR

Permintaan tinggi pengaruhi harga premium tanah

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 31 MAC: Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali menjelaskan terdapat beberapa faktor mempengaruhi premium tanah yang tinggi di Selangor.

Menurutnya, permintaan tinggi dalam pasaran hartanah Selangor selain pembangunan pesat sesebuah kawasan akibat pertambahan infrastruktur mempengaruhi harga premium yang tinggi.

“Selain itu, pertumbuhan ekonomi pesat dan pertambahan jumlah pelaburan domestik serta antarabangsa.

“Kestabilan sosiopolitik di bawah Kerajaan Negeri sedia ada dan aktiviti spekulasi meluas oleh pelabur hartanah turut menjadi penyumbang,” katanya.

DUN MAC 17 (10)Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan dimukakan ADN Skinchan, Ng Suee Lim.

Jelas Mohamed Azmin, Kerajaan Negeri turut memberikan insentif dengan menggunapakai pekeliling PTGS Bilangan 1/2016 dan Bilangan 3/2016.

Antara insentif diberikan adalah melanjutkan tempoh pembayaran premium kediaman kepada 12 bulan dan enam bulan komersil.

Selain itu, skim insentif khas premium turut diberikan bagi tujuan melanjutkan tempoh pajakan untuk aktiviti perniagaan di bangunan lama di dalam kawasan luar bandar.

-nR-