Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Baiki segera kerosakan Jalan Persekutuan ke Sekinchan

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SEKINCHAN, 1 MAC: Kerajaan Persekutuan digesa menyelesaikan segera masalah kerosakan jalan semakin serius di sepanjang laluan ke Sekinchan.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Sekinchan, Ng Suee Lim berkata, jalan raya Persekutuan itu kurang diberi perhatian dan sering kali terlepas pandang menjadikan jalan tersebut tidak rata dan berlekuk-lekuk.

“Tanggungjawarb Kerajaan Negeri dari segi penyelenggaran jalan di kawasan perkampungan telah lama dibaiki dan dalam keadaan baik, namun jalan Persekutuan masih tidak rata dan berlekuk yang boleh mengundang bahaya.

“Saya sendiri menggunakan jalan ini, malah saya turut menerima pelbagai aduan dari pengguna jalan raya. Namun dalam isu ini adalah terhad kerana jalan ini diseliakan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Persekutuan dan bajet tersebut datang dari mereka,” katanya kepada SelangorKini.

Walaubagaimanapun, katanya beliau akan membawa isu itu ke dalam Sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) supaya kerosakan jalan itu dapat diberi perhatian.

“Saya cuba bawa sekali lagi dalam Sidang DNS akan datang pada 28 Mac ini supaya Persekutuan juga maklum dan ambil tindakan sewajarnya serta proaktif menaiktaraf jalan supaya pengguna tidak lagi mengeluh,” katanya.

=EZY=