Categories
PBT SELANGOR

MPK ke arah PBT bertaraf antarabangsa 2020

OLEH ERMIZI MUHAMAD

KLANG, 1 MAC: Majlis Perbandaran Klang (MPK) giat melaksanakan pelan perancangan holistik ke arah menjadikan MPK sebagai sebuah perbandaran bertaraf antarabangsa menjelang 2020.

Yang Dipertua MPK, Dato’ Mohamad Yasid Bidin berkata, tumpuannya kini terarah kepada prinsip dan akauntabiliti bebas rasuah anggotanya.

“Visi MPK sebagai perbandaran bertaraf antarabangsa yang lestari dengan perancangan holisitik menjelang 2020 lebih menuntut nilai integriti diri yang tinggi dalam merealisasikannya.

“Tanpa integriti dalam pentadbiran ini, kita pasti bukan sahaja hanyut, malah akan gagal untuk mentadbir perbandaran Klang ini dengan lebih telus dan efisien,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada pada Majlis Ikrar Bebas Rasuah MPK di Auditorium Sultan Abdul Samad, hari ini.

Terdahulu, MPK mula melaksanakan Pelan Strategik 2016 – 2020 merangkumi tujuh teras strategi dan penentu untuk menjayakan komitmen tersebut.

Antara tumpuan teras pembangunan itu termasuklah usaha untuk memperkasakan pengurusan dan keupayaan organisasi berprestasi tinggi.

Selain itu, ia turut memberi tumpuan kepada pelaksanaan perancangan dan awalan pembangunan bandar mampan demi manfaat masyarakat sekitar kawasan pentadbirannya.

=EZY=