Categories
SUKANKINI

Cub Prix: Kerjasama bantu pembangunan sukan permotoran

OLEH HAFIZAN TAIB

KUALA LUMPUR, 3 MAC: Program pembangunan sukan permotoran negara terus dirancakkan dengan jalinan kerjasama antara penganjur Kejuaraan Cub Prix AAM Malayaia PETRONAS 2017 serta Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Pengarah Safe Aim Mutual Sdn Bhd, Ron Hogg berkata, kerjasama antara kedua-dua pihak itu menyaksikan perubahan terhadap perlumbaan kategori Wira yang kini dikenali sebagai Wira KBS, pada pusingan pembukaan di Temerloh, Pahang, Sabtu dan Ahad ini.

“Kami mengalu-alukan kerjasama dan pembabitan KBS bersama Kejuaraan Cub Prix, pada tahun ini serta berharap jalinan kerjasama ini akan dapat membantu kepada pembangunan pelumba motosikal di Malaysia secara berterusan.

“Kategori Wira selama ini menjadi pemangkin merubah seluruh industri perlumbaan motosikal sejak diperkenalkan, pada 2002.

“Bakat di usia belasan tahun dapat dicungkil dan purata umur pelumba Cub Prix dapat dikurangkan dengan penyertaan pelumba seawal usia 13 tahun,” katanya dalam kenyataan.

Antara pelumba terkemuka yang pernah beraksi dalam kategori Wira termasuk pemenang dua perlumbaan Moto3, Khairul Idham Pawi dan juara SuperSports 600cc Asia yang juga mantan pelumba Moto2 negara, Azlan Shah Kamaruzaman.

cubprix 4Bagaimanapun, Ron berkata, tiada peraturan khusus ditetapkan dalam perjalanan dan pembangunan karier pelumba dengan kelas Wira selalunya adalah kategori pelumba belasan tahun yang belum bersedia atau menyerlah bakat mereka untuk ke peringkat lebih tinggi.

Namun, katanya ia dianggap sebagai langkah pertama untuk menceburkan diri dalam perlumbaan terbuka.

“Pelumba seperti Khairul Idham, selepas beraksi dalam kategori Wira, terus menyertai perlumbaan antarabangsa tanpa beraksi dalam kelas lebih tinggi di peringkat kebangsaan, manakala Hafizh Syahrin Abdullah pula terus melangkau ke kelas CP115.

“Namun, tidak diragui kelas Wira memainkan peranan penting sebagai medan mencungkil bakat sukan permotoran negara,” katanya.

Pusingan 1 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS akan berlangsung di Temerloh, Pahang, pada Sabtu dan Ahad ini.

-AA-