Categories
SELANGOR

SPR didakwa tidak adil kepada penolong pendaftar

OLEH HAFIZAN TAIB

KUALA KUBU BHARU, 3 MAC: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) didakwa bersikap tidak adil kepada sebahagian penolong pendaftar di Selangor apabila membekalkan borang pendaftaran pengundi tidak mencukupi.

Sikap pilih kasih itu didakwa dialami kumpulan dalam kalangan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Kampung (JKKK) dengan pegawai SPR ‘lebih mengutamakan’ Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Kampung Persekutuan (JKKKP).

Ahli Dewan Negeri (ADN) Kuala Kubu Bharu, Lee Kee Hiong berkata, pihaknya dimaklumkan berkenaan perkara itu dan menuntut penjelasan diberikan SPR terhadap insiden berlaku.

“Pegawai SPR bertanya sama ada mereka dari JKKK atau JKKKP, sekali gus menimbulkan persoalan apa bezanya penolong pendaftar dari kedua-dua kumpulan ini?

“Adakah borang pendaftaran akan tiba-tiba mencukupi jika mereka dari JKKKP?

lee kee hiong“SPR harus bertindak adil kepada semua penolong pendaftar tanpa mengira latar belakang politik mereka,” katanya.

Difahamkan, perkara itu dihadapi Pengerusi JKKK Kampung Pasir Kerling, Yusoff Stak dan Pengerusi JKKK Ampang Pecah, Rihajuddin Anwarkhan @ Tajol yang mendakwa hanya dibekalkan 100 borang pendaftaran pengundi berbanding 1,000 yang diminta.

“Saya amat kesal SPR tidak menyediakan borang pendaftaran mencukupi untuk penolong pendaftar menjalankan tugas.

“Perkara sedemikian tidak harus berlaku memandangkan masih terdapat 4.4 juta rakyat Malaysia berumur 21 tahun ke atas belum berdaftar sebagai pengundi,” kata Kee Hiong.

-AA-