Categories
KENYATAAN MEDIA

Dego Ride perlu dibenarkan dan Teksi diperkasakan

OLEH Dr. Mujahid Yusof Rawa

Hari ini pada 29 Mac 2017 saya telah melontarkan pertanyaan kepada Kementerian Pengangkutan akan tindakan kerajaan melarang Dego Ride tetapi tidak pada perkhidmatan pengangkutan Uber dan Grabcar.

Saya melihat bahawa tindakan ini adalah tidak adil kepada rakyat yang berusaha untuk mendapatkan duit poket tambahan bulanan mereka.

Saya melihat bahawa ‘Teksi Motor’ ini mempunyai potensi untuk meningkatkan pendapatan golongan ekonomi bawahan.

Malahan, sekiranya dilaksana dan dirancang dengan baik oleh kerajaan dengan kerjasama syarikat berkenaan, barangkali Dego Ride akan membantu mengurangkan gejala Mat Rempit dengan terlibat dalam aktiviti yang lebih bermanfaat.

Ini boleh dijalankan dengan menetapkan syarat-syarat ketat keselamatan penunggang dan kenderaan yang akan diguna agar perkhidmatan ini selamat kepada semua pihak.

Saya juga menyedari bahawa perkembangan teknologi pada hari ini telah melahirkan pelbagai perkhidmatan pengangkutan baharu seperti Uber dan GrabCar telah menganggu periuk nasi pemandu Teksi.

Malah hal ini telah disuarakan oleh persatuan pemandu teksi sewaktu membuat bantahan di parlimen pada awal Mac tahun ini.

Saya berpandangan bahawa untuk memperkasakan industri Teksi kerajaan perlu memberi permit teksi terus kepada pemandu teksi tanpa melalui orang tengah.

Melihat kepada keadaan semasa, apakah dengan sistem AliBaba yang sedia ada selama ini telah memberi mutu pretasi perkhidmatan teksi yang memuaskan kepada industri teksi Negara?

Apakah dengan longgokan Lesen Pengendali teksi kepada syarikat akan menjaminkan pretasi mutu perkhidmatan teksi yang memuaskan kepada SPAD dan apatah lagi kepada pengguna?

Saya yakin mutu perkhidmatan teksi akan bertambah baik, setelah pemandu teksi diberi Lesen Pengendali Individu. Malah tidak mustahil dengan penganugerahan tersebut, pemandu teksi akan membantu SPAD merialisasikan harapan rakyat seluruhnya untuk melihat industri teksi Negara bertaraf dunia.

Oleh itu, saya mencadangkan kepada kerajaan untuk mengimbangi dasar pengangkutan terhadap perkhidmatan pengangkutan sedia ada seperti Teksi dan perkhidmatan pengangkutan yang baharu seperti Uber, GrabCar serta Dego Ride dengan secara adil agar dapat membantu rakyat kebanyakan yang berpendapatan sederhana dan rendah.

* YB Dr. Mujahid Yusof Rawa adalah Ahli Parlimen Parit Buntar