Categories
SELANGOR

KPJ ikrar tawar rawatan kesihatan terbaik

OLEH LIZAWATI MADFA

RAWANG, 29 MAC: KPJ Healthcare Berhad (KPJ) berikrar untuk terus menyumbang kepada kualiti kesihatan lebih baik dalam kalangan masyarakat sebagai tanggungjawab sosial korporat.

Pengerusinya, Dato’ Kamaruzzaman Abu Kassim berkata, organisasi korporat itu antara lain menubuhkan rangkaian klinik dan pusat dialisis Wakaf An Nur (KWAN) dalam usaha mencapai objektif berkenaan.

Katanya, ia menawarkan perkhidmatan dan ubatan pada harga serendah RM5 di klinik dan RM90 di pusat dialisis.

“Di Selangor sahaja terdapat lima klinik wakaf iaitu di Sungai Buloh, Ijok, Bukit Indah, Ampang; Masjid Al Falah USJ dan Masjid Sultan Suleiman, Klang serta satu pusat dialisis di Ijok.

“Secara keseluruhan, rangkaian KWAN memiliki satu hospital wakaf dan 18 klinik termasuk empat klinik bergerak serta lapan pusat dialisis di seluruh Malaysia,” katanya.

Beliau berucap demikian di Majlis Perasmian Hospital Pakar KPJ Rawang, di sini, hari ini.

Kamaruzzaman berkata, beliau yakin sokongan Kerajaan Negeri dan agensinya mampu melonjak usaha KPJ memberikan perkhidmatan kesihatan terbaik kepada rakyat Selangor.

“KPJ Rawang juga terpilih sebagai panel bagi program mammogram.

“Pada 15 September 2016, KPJ Rawang berjaya menjalankan 118 ujian mammogram dan beberapa aktiviti pemeriksaan juga ceramah kesihatan,” katanya.

-AA-