Categories
NASIONAL

DNA anak Jong Nam diambil di luar negara

SHAH ALAM, 16 MAC: Sampel DNA anak lelaki Kim Jong Nam diperolehi di luar negara selepas pegawai kerajaan bertemu dengannya.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bagaimanapun tidak mendedahkan di mana pegawai kerajaan dan anak Jong Nam bertemu.

“Saya tak boleh dedahkan. Pihak berkuasa Malaysia pergi ke sana (bertemu anak Jong-nam di luar negara). Saya tak boleh dedahkan butirannya,” katanya di Parlimen, hari ini.

Ahmad Zahid berkata, sampel DNA anak lelaki Jong-nam itu kemudian dibawa ke Kuala Lumpur dan dibuat perbandingan.

“Selepas dibuat perbandingan, memang (lelaki) itu sah Jong-nam,” katanya.

(FILES) This file photo taken on May 4, 2001 shows an immigration officer (L) escorting Kim Jong-Nam, son of North Korean leader Kim Jong-Il, getting off a bus to board an ANA905 (All Nippon Airways) airplane at Narita airport near Tokyo. Kim Jong-Nam, the half-brother of North Korean leader Kim Jong-Un has been assassinated in Malaysia, South Korea's Yonhap news agency said on February 14, 2017. / AFP PHOTO / TOSHIFUMI KITAMURA

Sementara itu, mengulas berkenaan pengurusan mayat Jong-nam, Ahmad Zahid berkata, polis akan mengambil tindakan berdasarkan permintaan waris si mati.

Sehubungan itu, katanya, pihak keduataan tidak boleh meminta mayat berkenaan untuk dibawa pulang ke Korea Utara kecuali mendapat keizinan daripada keluarga Jong-nam.

“Kerajaan juga akan dapatkan nasihat peguam negara dalam hal ini,” katanya.

Terdahulu, keluarga Kim Jong Nam memberi kebenaran kepada Kerajaan Malaysia untuk menguruskan mayat rakyat Korea Utara itu yang dibunuh di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2), pada 13 Februari lalu.

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim bagaimanapun enggan mengulas lanjut bila dan di mana waris mangsa memberikan kebenaran itu.

Jong Nam, abang pemimpin Korea Utara Kim Jong Un didakwa dibunuh dua wanita asing yang menyapu mukanya dengan agen saraf VX ketika berada di KLIA2 untuk menaiki pesawat ke Macau.

Jong Nam yang memiliki pasport tertera nama Kim Chol, meninggal dunia dalam perjalanan ke Hospital Putrajaya.

Sebelum ini, Pyongyang mendakwa lelaki itu bukanlah Jong-nam walaupun mengakui dia warga Korea Utara.

-NFN-