Categories
SELANGOR

Dua beradik maut dilanggar komuter

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 3 MAC: Dua beradik maut dilanggar tren komuter di Kilometer 29.5 berhampiran Stesen Kampung Jawa-Shah Alam, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Shafien Mamat berkata, mangsa adalah Sabiran Musa, 40, dan adiknya, Nizam Riduan, 36, beralamat di Jalan Dato Mohd Sidin off Jalan Batu 3 Lama, Sungai Rasau, Seksyen 16 Shah Alam.

Katanya, kedua-dua mangsa dipercayai cuba menyeberangi landasan untuk ke kedai runcit berdekatan apabila dilanggar tren komuter dari arah Kuala Lumpur ke Klang.

“Perlanggaran itu menyebabkan mangsa tercampak kira-kira tiga meter dari landasan dan mati di tempat kejadian.

“Pemeriksaan awal mendapati mangsa cedera parah di kepala, kaki dan patah tangan.

“Mayat dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang untuk dibedah siasat,” katanya di sini, hari ini.

Shafien berkata, tiada sebarang unsur jenayah membabitkan kes itu dan ia diklasifikasikan sebagai kematian mengejut.

-AA-