Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

DYMM Sultan Selangor redah hutan tanam Bakau Kurap

OLEH ERMIZI MUHAMAD

KUALA SELANGOR, 25 MAC: DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan mencemar duli menyempurnakan Program Tanam Pokok di Taman Alam Kuala, di sini, hari ini.

Majlis diadakan sempena Sambutan Hari Hutan Antarabangsa Peringkat Negeri Selangor 2017 sebagai inisitif menyemarakkan lagi persekitaran hijau di Selangor.

Sebagai simbolik penyempurnaan program, baginda turut berkenan mencemar duli menyempurnakan acara penanaman Pokok Bakau Kurap diiringi Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah dan Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali.

Bagaimanapun, program penyempurnaan tanaman diadakan cukup istimewa apabila baginda dilihat lebih selesa ‘meredah’ hutan simpan Taman Alam tanpa terikat dengan sebarang protokol diraja.

IMG_1395Tiada permaidani diraja dan iringan kenderaan rasmi istana, baginda berkenan mencemar duli berjalan sekitar satu kilometer dari pintu masuk utama Taman Alam ke tapak tanaman pokok Bakau Kurap.

Pokok Bakau Kurap atau nama saintifiknya, Rhizophora Mucronata adalah tanaman pertanian yang sinonim dengan ekosistem perhutanan di Malaysia.

Sementara itu, Dato’ Menteri Besar dalam ucapan sembah perasmian program berkata, Kerajaan Negeri konsisten menyokong usaha ke arah persekitaran hijau di negeri itu.

Beliau berkata, ia termasuk galakan kepada masyarakat awam supaya menghargai ekosistem dan pembangunan hijau negeri.

“Keberangkatan tuanku dalam program ini menjadi inspirasi untuk memelihara dan memulihara hutan sebagai elemen penting dalam ekosistem semula jadi.

“Inisiatif ini diyakini mampu menjamin persekitaran hijau yang sihat dan pembangunan mampan,” katanya.

-NFN-