Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Masjid terharu, baru nak mohon dah dapat sumbangan

OLEH NAZLI IBRAHIM

TANJUNG KARANG, 25 MAC: Pihak pengurusan Masjid Darul Iman Kampung Parit Serong terharu apabila hajat untuk membesarkan ruang solat muslimat bakal tercapai apabila menerima sumbangan RM150,000 daripada Kerajaan Negeri.

Setiausaha Masjid Darul Iman, Kampung Parit Serong, Nasaruddin Shaarani berkata, sebelum ini pihaknya merancang untuk mendapatkan sumbangan orang ramai dan Kerajaan Negeri bagi membiayai projek terbabit.

“Kami sangat bersyukur, setahun lebih memikirkan bagaimana nak mencari dana untuk membesarkan ruang muslimat tetapi belum sempat permohonan dipanjangkan, hari ini kami dah dapat sumbangan. Seluruh kariah mengucapkan ribuan terima kasih,” katanya.

IMG_20170324_131641_552Beliau berkata demikian pada program Penyampaian Sumbangan Kepada Masjid, Surau dan Sekolah Rendah Agama Daerah Kuala Selangor di Masjid Kampung Sungai Gulang-Gulang, di sini, semalam.

Katanya, bumbung di ruang muslimat sedia ada pada masa ini agak rendah hingga menyebabkan keadaan tidak selesa dan terlalu sempit untuk menampung jemaah terutama ketika mengerjakan solat terawih.

Katanya, sumbangan itu akan digunakan untuk membina bangunan tambahan termasuk ruang mengambil wuduk dan tempat menukar pakaian bagi kegunaan kaum wanita.

Nazir Masjid As-Solihin, Tali Air 2, Sungai Burong, Mohd Nor Saad pula berkata, pihaknya menerima sumbangan RM50,000 untuk membaik pulih Surau Hj Mahmud di bawah seliaan Jawatankuasa Masjid As-Solihin.

“Surau Hj Mahmud perlu dibaik pulih kerana selepas raya nanti, Masjid As-Solihin akan dirobohkan bagi memberi laluan projek pembinaan masjid baru dan sementara menunggu siap, Surau Hj Mahmud akan dijadikan masjid sementara,” katanya.

Katanya, sebelum ini Kerajaan Negeri sudah meluluskan peruntukan bernilai RM5 juta untuk membina masjid baru bagi menggantikan bangunan uzur masjid itu yang dianggarkan berusia 120 tahun.

IMG_20170324_150742_449Sementara itu, Setiausaha Surau Nurul Huda, Kampung Sungai Kajang Baru, Tanjung Karang, Mahroii Rangdimin pula menyifatkan sumbangan RM20,000 yang diterima terlalu besar dan amat bermakna kepada kariah kawasan terbabit.

“Ribuan terima kasih kepada Dato’ Menteri Besar kerana beri sumbangan ini kepada surau kami dan sebenarnya RM20,000 terlalu besar untuk surau kami, bahkan ia sungguh bermakna kerana banyak boleh digunakan untuk meningkatkan kemudahan surau.

“Pada masa ini, kami sedang menaik taraf sistem pembesar suara memandangkan yang sedia ada terlalu uzur dan untuk kemudahan lain surau,” katanya.

Katanya, selain sistem pembesar suara, sumbangan itu juga akan dibelanjakan untuk membeli beberapa keperluan lain seperti permaidani, tempat mengambil wuduk wanita dan penghadang pemisah ruang solat muslimat.

Terdahulu, Dato’ Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali menyampaikan sumbangan RM2.1 juta kepada 22 masjid, surau dan sekolah rendah agama di Kuala Selangor.

-NFN-