Categories
NASIONAL

EAIC perlu diberikan kuasa pendakwaan

OLEH AFIX REDZUAN

KUALA LUMPUR, 15 MAC: Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) seharusnya diberikan hak penguatkuasaan dan pendakwaan supaya siasatan lebih telus dapat dilakukan.

Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago berkata, walaupun EAIC dibenarkan menyiasat dan mengemukakan syor bagi sesuatu kes seperti kematian dalam tahanan tetapi masih tidak berkuasa untuk mendakwa pesalah berdasarkan penemuan mereka.

“EAIC tidak mempunyai kuasa pendakwaan. Mereka boleh membuat pelbagai syor di dunia tetapi tidak berkuasa melaksanakannya.

“Saya berhujah supaya Akta EAIC dipinda supaya mereka diberikan kuasa penguatkuasaan dan membenarkan pihak bertanggungjawab dibawa ke mahkamah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Lobi Parlimen.

Dalam sidang media sama beliau turut meminta kerajaan melantik pendakwaraya untuk membantu EAIC dalam kes mendiang S Balamurugan yang meninggal dunia dalam tahanan polis.

Katanya, walaupun polis melakukan penyiasatan berhubung perkara itu namun ketelusan siasatan boleh diragui kerana tidak mempunyai kebertanggungjawaban.

Menurut Charles, berdasarkan statistik didedahkan kerajaan, 1,600 kes kematian dalam tahanan dicatatkan sejak 2010 tanpa pelaku jenayah dibawa ke muka pengadilan.

=EZY=