Categories
NASIONAL

Rosmah diminta serah PERMATA kepada pakar

SHAH ALAM 15 MAC: Datin Seri Rosmah Mansor diminta meletak jawatan sebagai penaung program Permata Negara jika beliau tidak memahami maksud akauntabiliti terhadap dana awam.

Adun Damansara Utama, Yeo Bee Yin berkata usaha untuk mendapatkan penjelasan mengenai agensi kerajaan yang menggunakan wang pembayar cukai bukan agenda “mempolitikkan” sesuatu, tetapi ia penelitian awam dan akauntabiliti.

“Beliau nampaknya lupa, dana awam digunakan untuk melaksanakan program Permata datangnya daripada rakyat yang membayar wang titik peluh mereka sebagai cukai pada Putrajaya.

“Jadi rakyat berhak untuk tahu bagaimana program Permata dijalankan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Yeo berkata tiada keperluan menggunakan agensi berasingan yang diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri dan isteri Perdana Menteri sebagai penaung.

permata“Kami cadangkan banyak kali, program pembangunan pendidikan awal kanak-kanak patut diletakkan di bawah kementerian penuh yang berkenaan kerana ada peralatan lebih lengkap dan individu berpengalaman dalam bidang itu,” katanya.

Beliau berkata penjagaan kanak-kanak ialah tanggungjawab Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat maka wajar program Permata diletakkan di bawah kementerian itu.

“Program Permata juga bertindih dengan peranan Kementerian Pendidikan dan Kementerian Luar Bandar dan Pembangunan Wilayah.

“Maka, jika Rosmah mahu yang terbaik untuk kanak-kanak di Malaysia, maka dia perlu menyerahkan pembangunan awal kanak-kanak kepada kementerian yang pakar dalam melaksanakannya,” katanya.

=EZY=