Categories
BERITA UTAMA KENYATAAN MEDIA

Exco dan MB Johor wajib isytihar harta

OLEH SALAHUDIN AYUB

SHAH ALAM, 3 MAC: Berikutan siasatan kes pecah amanah penukaran status hartanah bumiputera Johor, saya menggesa siasatan dijalankan terhadap Exco Kerajaan Johor dan Menteri Besarnya.

Siasatan bukan hanya tertumpu kepada enam individu yang ditahan SPRM baru-baru ini, kerana kes membabitkan jutaan wang rakyat perlu siasatan menyeluruh.

Tindakan bobrok ini dilihat mencemarkan nilai integriti warga Johor dan ia perlu dipelihara bagi memastikan pentadbiran negeri itu bebas daripada korupsi demi memastikan pembangunan negeri dan rakyat yang lebih sejahtera.

Saya ingin mempersoalkan kelemahan pentadbiran Johor yang seolah mudah bagi mereka mengekspoitasi wang rakyat dan bagaimana kebocoran hasil penukaran status hartanah bumiputera berlaku tanpa disedari Menteri Besar serta Exconya?

Tindakan rasuah skandal penukaran status hartanah bumiputera adalah satu perbuatan jijik dan jelas menunjukkan kerajaan UMNO BN gagal mempertahankan hak bumiputera rakyat Johor.

Bayangkan dengan wang yang begitu banyak bocor, kita boleh memanfaatkan wang itu kepada rakyat Johor dengan pelbagai projek dan bantuan.

Justeru, saya mencabar Exco, Datuk Latif Bandi dan Menteri Besar, DatuK Seri Khalid Nordin untuk mengisytiharkan harta (asset declaration) segera.

Rakyat Johor tidak mahu wang mereka dipergunakan sesuka hati untuk perbuatan jijik rasuah dan salah guna kuasa.

*Salahudin Ayub adalah Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH)