Categories
KENYATAAN MEDIA

Satu undi BN, satu undi rasuah

SHAH ALAM, 3 MAC: Pakatan Harapan (PAKATAN) melahirkan kebimbangan berhubung amalan rasuah yang makin berleluasa di bawah pentadbiran Najib Razak.

Barometer Korupsi Global Transperancy International (Asia Pasifik) bagi 2016 mendedahkan seramai 60 peratus rakyat Malaysia bersetuju tahap rasuah di negara ini semakin teruk dengan pertambahan dua kali ganda berbanding 30 peratus, pada 2014.

Kenyataan ini disokong kajian Barometer Edelmen Trust Malaysia 2017 yang menyatakan seramai 52 peratus rakyat Malaysia hilang kepercayaan kepada institusi dan sistem pentadbiran, ekonomi serta sosial, manakala 83 peratus bersetuju rasuah sebagai punca utama.

Pada Mac tahun lalu, majalah ‘Time’ menempatkan Malaysia sebagai negara kedua paling korup di dunia selepas Brazil.

Sama seperti dilaporkan pada Mei 2016, Malaysia berada di kedudukan nombor dua di dunia selepas Russia di dalam The Economist’s Crony Capitalism Index 2016.

Dua bulan kemudian, nama Malaysia sekali lagi dimalukan di seluruh dunia apabila Jabatan Keadilan Amerika Syarikat menyatakan negara kita mengamalkan dasar kleptokrat akibat skandal 1MDB.

Pada 2015, Global Financial Integrity (GFI) menempatkan Malaysia dalam senarai lima negara utama di dunia yang mengamalkan aliran tunai keluar secara haram dengan jumlah terkumpul bersamaan RM1.8 trilion antara 2004 dengan 2013.

Dengan skandal 1MDB, Jabatan Air Negeri Sabah, Felda, dan Majlis Amanah Rakyat, ini membuktikan budaya korupsi diamalkan Kerajaan Umno BN semakin membarah.

Kos rasuah terpaksa ditanggung rakyat dalam bentuk kemerosotan nilai mata wang ringgit, pemotongan peruntukan untuk sektor kritikal seperti pendidikan dan kesihatan, GST, serta kenaikan kos sara hidup.

Kerajaan PAKATAN menawarkan permulaan baru dengan:

1. Memastikan tiada campur tangan politik dalam Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC), agensi pelaburan dan khazanah negara. Kesemua ini akan dibenarkan membuat keputusan berdasarkan mandat pelaburan daripada mandat rakyat;

2. Melantik seseorang yang berwibawa menjadi peguam negara yang diberi kebebasan menjalankan tugas siasatan terhadap sesiapa sahaja mengikut Perlembagaan; dan

3. Memastikan kebebasan media, termasuk agensi dan penyiaran berita milik rakyat dibenarkan berfungsi secara bebas dan saksama

Oleh demikian, PAKATAN menyeru kepada semua rakyat Malaysia yang menentang rasuah dan inginkan perubahan untuk segera mendaftar serta keluar mengundi pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
PAKATAN HARAPAN:

YB Datuk Raja Kamarul Bahrin
Parti Amanah Negara
(AMANAH)

YB Rafizi Ramli
Parti Keadilan Rakyat
(PKR)

YB Tony Pua
Parti Tindakan Demokratik
(DAP)