Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

PRU-14 terkotor jika SPR gagal jelas status pemilih

OLEH NAZLI IBRAHIM

KUALA LUMPUR, 3 MAC: Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) bakal menyaksikan penipuan terbesar jika Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) gagal mengemukakan asas kukuh terhadap tindakannya melupuskan alamat 136,272 pemilih di Selangor.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, hal itu kerana jumlah terbabit adalah sangat besar yang menyebabkan lokaliti pemilih terbabit tidak dapat dikenal pasti.

“Bagaimana 136,272 pemilih di Selangor dihilangkan alamat dan hujah barisan peguam, mereka tidak boleh buat eksais persempadanan semula tanpa alamat.

“Bagaimana mereka mahu meletakkan pemilih di lokaliti tanpa alamat? Ini menyebabkan daftar pemilih itu tidak bersih, kotor dan menimbulkan suasana pilihan raya itu kotor dan tidak adil.

“Jumlah ini besar bagi sesebuah pilihan raya,” katanya selepas menghadiri perbicaraan permohonan semakan kehakiman berhubung persempadan semula oleh SPR di Mahkamah Tinggi Sivil Kuala Lumpur, Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur di sini, semalam.

AZMINBeliau yang yakin hujah barisan peguam mewakili Kerajaan Negeri berkata, pihaknya dalam perbicaraan semalam turut memohon mahkamah memanggil Pengerusi SPR bagi memberi penjelasan berhubung tindakan melupuskan alamat pemilih.

Mohamed Azmin berkata, Kerajaan Negeri mempunyai asas kukuh untuk memohon supaya Pengerusi SPR memberi keterangan bagi mengelakkan perbicaraan pada 10 Mac nanti dijalankan berasas keterangan dan dokumen tidak lengkap.

Hakim Mahkamah Tinggi Sivil, Yang Arif Azizul Azmi Adnan menetapkan keputusan permohonan memanggil Pengerusi SPR, pada 9 Mac ini.

-AA-