Categories
SELANGOR SUKANKINI

FAS tak dibantu, tolak cadangan penswastaan Selangor

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 29 MAC: Kerajaan Negeri memutuskan hubungan dengan Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) selepas persatuan itu menolak cadangan dikemukakan berhubung penswastaan pasukan bola sepak Selangor.

Exco Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan, Amirudin Shari berkata, pendirian diambil Kerajaan Negeri itu adalah bersesuaian dengan keputusan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang mensyaratkan agar pasukan bola sepak di negara ini diswastakan dan diuruskan secara mandiri.

“Ia antara langkah pertama diambil Dato’ Menteri Besar (Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali) ketika menjadi Presiden FAS bagi menyegerakan proses penswastaan dengan mengusulkan beberapa maklum balas namun ditolak mentah-mentah malah mereka bertindak keluar meninggalkan mesyuarat tanpa mahu mengadakan perbincangan lanjut.

“Kerajaan Negeri menganggap tindakan itu sebagai biadap dan kita membuat ketetapan memutuskan hubungan dengan FAS dan menyatakan sokongan kepada PKNS FC sebagai wakil Kerajaan Negeri,” katanya menjawab pertanyaan lisan Ahli Dewan Negeri (ADN) Lembah Jaya, Khasim Abdul Aziz di dalam sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, keputusan Kerajaan Negeri menyokong kelab dimiliki Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) itu kerana penelitian dari segi peratusan, ia hanya memerlukan beberapa langkah untuk melengkap proses penswastaan.

Bagaimanapun, katanya, antara halangan terbesar adalah kedudukan Dato’ Menteri Besar selaku Pengerusi PKNS dan dalam masa sama Presiden FAS maka ia bertentangan kerana mengganggu kepada perlawanan secara adil lantaran kedua pasukan dimiliki pihak sama.

“Maka atas kapasiti Dato’ Menteri Besar, prioriti dan keutamaan beliau adalah terarah kepada PKNS FC dan melepaskan jawatan Presiden FAS dengan membiarkan FAS, mencari jalan sendiri untuk penswastaan.

“Setelah selama ini kita membantu FAS dengan bantuan kewangan 100 peratus tetapi nampaknya mereka tidak mampu untuk menjana pendapatan sendiri, bagaimanapun kita memberi ruang bagi tujuan itu kerana Kerajaan Negeri fokus terhadap pembangunan sukan secara menyeluruh dan komprehensif,” katanya.

Menjawab pertanyaan tambahan ADN Paya Jaras, Mohd Khairuddin Othman, Amirudin berkata, terdapat banyak perkara terperinci yang memerlukan penjelasan berkaitan FAS termasuk kewujudannya dengan penyertaan hampir 100 kelab di dalamnya.

Katanya, diyakini tiada audit tertentu dijalankan berhubung siapa atau apa kelab yang aktif dan pihak mana yang mempunyai pasukan.

“Bagi saya terlalu sukar mengubah FAS selagi tiada perubahan atau reformasi secara menyeluruh kerana tiada kepastian terhadap semua kelab dinyatakan itu.

“Oleh kerana itu, kita menganggap FAS adalah satu pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang selama ini kita bantu dan sama taraf seperti Persatuan Sepaktakraw Selangor, Persatuan Taekwondo Selangor dan yang lain,” katanya.

=EZY=