Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

FOMCA bimbang peniaga ambil kesempatan kenaikan harga gula

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 2 FEB: Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) bimbang peniaga akan menjadikan kenaikan harga gula sebagai alasan untuk menaikkan harga barang makanan.

yusuf fomcaTimbalan Presidennya, Mohd Yusof Abdul Rahman berkata, ia mampu memberikan kesan peningkatan perbelanjaan pengguna dan inflasi selain menjadikan isu kesihatan sebagai alasan walaupun kenaikan sekitar 10 sen.

“Apa yang kita risaukan adalah rantaian kesan kenaikan harga makanan sedangkan ia tidak memberikan kesan besar sebenarnya walaupun 10 sen.

“Peniaga boleh menggunakan satu kilogram gula untuk pelbagai perkara tetapi bimbang mereka mungkin menaikkan harga minuman contohnya sekarang RM1.50 tetapi dinaikkan lagi 10 sen menjadikannya RM1.60,” katanya.

Beliau berkata, harga gula tidak perlu diapungkan kerana ia masih memerlukan kelulusan kerajaan sebelum kenaikan harga dilakukan sebagai barangan kawalan.

Harga gula meningkat sehingga RM0.11 sekilogram walaupun belum ada sebarang pengumuman rasmi daripada kerajaan dibuat.

Sekilogram gula kini berharga RM2.95 iaitu peningkatan empat peratus sejak pelarasan harga terakhir, pada tahun 2013.

-NFN-