Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Isu Korea Utara: PPBM gesa tubuh pasukan rundingan

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 9 MAC: Kerajaan Persekutuan digesa menubuhkan pasukan rundingan bagi memastikan keselamatan rakyat Malaysia yang ditahan di Korea Utara seterusnya membawa mereka pulang ke tanah air.

Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pasukan itu seharusnya dianggotai badan luar yang berkapasiti menguruskan rundingan antara dua negara secara baik.

Katanya, urusan hal berkenaan juga perlu dilaksanakan secara bijaksana bagi mengelakkan peningkatan ketegangan antara Putrajaya dengan Pyongyang.

tsmy-muhyiddin-yassin“Teliti cara sebaik mungkin, mungkin ada langkah segera yang patut diambil untuk cari jalan bagaimana kemelut pertembungan dua pihak ini dapat diredakan dan jangan ditingkatkan lagi ketegangan.

“Adakah pihak lain yang boleh membantu kita, badan antarabangsa seperti Majlis Keselamatan PBB atau yang boleh berperanan untuk itu,” katanya pada sidang media di ibu pejabat PPBM, di sini, semalam.

Memetik Astro Awani, beliau berkata, sebarang kesilapan langkah bakal meningkatkan krisis dan mendedahkan Malaysia kepada ancaman keselamatan.

“Kita tahu cara Korea Utara menguruskan hubungan antarabangsa yang kadang-kadang tidak mengikut konvensyen biasa. Jadi, kita bimbang kalau tidak berjaga-jaga atau terlepas pandang, maka implikasinya amat besar,” katanya.

Terdahulu, Pyongyang mengeluarkan arahan sekatan terhadap 11 rakyat Malaysia yang berada di negara komunis itu daripada meninggalkan Korea Utara.

Empat daripadanya pegawai dan kakitangan kedutaan bersama lima ahli keluarga mereka sementara dua lagi kakitangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

-NFN-