Categories
SELANGOR

Isu Yawas: Umno-BN tandus isu, guna Jamal buruk wakil rakyat PAKATAN

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 28 MAC: Umno-Barisan Nasional (BN) terdesak apabilamenggunakan Datuk Seri Jamal Md Yunos bagi menyerang Kerajaan Negeri dan wakil rakyat Pakatan Harapan (PAKATAN) dengan dakwaan penyelewengan dalam program Yayasan Warisan Anak Selangor (Yawas).

Bagaimanapun, Ahli Dewan Negeri (ADN) Sekinchan, Ng Suee Lim, berkata tindakan Ketua Bahagian Sungai Besar itu dilihat lebih bermotif politik dan publisiti murahan ekoran Umno-BN sudah ketandusan isu untuk diketengahkan bagi menawan kembali Selangor.

“Perkara ini diuar-uarkan sejak seminggu lalu dan tindakan terdesak Jamal untuk menyerang Kerajaan Negeri dan wakil rakyat PAKATAN khususnya DAP termasuk bukan kali pertama laporan polis dibuat beliau.

“Ia secara bersiri bermula dengan Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok diikuti ADN Damansara Utama, Yeo Bee Yin dan kini saya membicarakan isu sama iaitu Yawas yang kononnya saya menyeleweng peruntukan Yawas. Biar polis siasat,” katanya kepada media di lobi Dewan Negeri Selangor di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas laporan polis dibuat Jamal terhadap dirinya dengan dakwaan menyalahgunakan peruntukan Yawas sejak 2008.

Katanya, tindakan Jamal ke atas dirinya juga dilihat serangan peribadi dan fitnah ekoran terdapat laporan mengatakan beliau mungkin bertanding di DUN Sekinchan tambahan pendedahan dibuatnya mengenai lebih 1,200 pengundi hantu dipindah Jamal ke DUN berkenaan tempoh hari.

“Saya memang tidak pernah curi duit rakyat dan perkara ini tidak pernah berlaku kerana jika pada 2008 saya curi pasti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang di bawah kuasa Umno-BN awal-awal sudah menahan saya.

“Kita akan kaji (tindakan saman) tetapi saya tidak mahu isu berpanjangan dengan orang tidak bertamadun yang pakai tuala di tengah hari, orang seperti ini saya tidak mahu layan kerana saman ini memerlukan proses panjang, jika dilayan saya pun jatuh standard,” katanya berhubung kesediaan Jamal untuk disaman.

=EZY=