Categories
PBT SELANGOR

Lebih 700 sertai Kayuhan Malam Earth Hour

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 28 MAC: Lebih 700 peserta menyertai Acara Berbasikal Kayuhan Malam MBSA sejauh 17 kilometer mengelilingi pusat bandar Shah Alam, pada 25 Mac lalu.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Shahrin Ahmad berkata, acara utama sempena Program 60+ ‘Earth Hour’ Shah Alam 2017 itu merupakan sokongan terhadap kempen tahunan anjuran World Wide Fund For Nature (WWF).

Katanya, ia juga bertujuan menggalak dan memberi peluang setiap individu melaksanakan tanggungjawab terhadap pemuliharaan alam sekitar.

“MBSA juga menyeru pemilik premis di sekitar Shah Alam memadamkan lampu bangunan di premis masing-masing untuk tempoh satu jam mulai 8.30 malam hingga 9.30 malam.

“Acara sampingan lain termasuk pertandingan mewarna yang berjaya menarik penyertaan 100 peserta dalam kalangan kanak-kanak, persembahan pentas artis jemputan Man Bai dan Siso Kopratasa, Pameran Inisiatif Hijau MBSA, Tarian LED, jualan Food Truck, Wayang Pacak dan Beca Bercahaya (percuma),” katanya.

Pada masa sama, Shahrin berkata, MBSA turut menyampaikan Sijil Penghargaan Jalinan Kerjasama Rakan Strategik MBSA ke arah Shah Alam Bandar Raya Rendah Karbon 2030 kepada pemaju dan syarikat korporat.

Katanya, pemaju terlibat adalah Sime Darby Elmina Development Sdn Bhd, Bandar Setia Alam Sdn Bhd, I&P Alam Impian Sdn Bhd, Kwasa Land Sdn Bhd, Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor, SP Setia Berhad, Eco Ardence dan DEMC Management Sdn Bhd.

“Program ini merupakan komitmen berterusan MBSA mendidik masyarakat khususnya komuniti Shah Alam untuk berganding bahu dan mengamalkan sikap bertanggungjawab di dalam memulihara keseimbangan alam sekitar,” katanya.

Majlis perasmian disempurnakan Timbalan Datuk Bandar, Shukri Mohamad Hamin dan turut dihadiri Ketua Polisi dan Perubahan Iklim WWF, Lavanya Rama Iyer.

=EZY=