Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Kadar pengangguran meningkat 3.5%, 200,000 rakyat terkesan

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 1 MAC: Kadar pengangguran di Malaysia pada 2016 meningkat ke paras 3.5 peratus berbanding kadar terendah yang pernah dicatatkan sebanyak 2.7 peratus pada Ogos 2012 apabila seramai 82,042 pekerja diberhentikan kerja sepanjang tempoh dua tahun kebelakangan ini.

Bekas Timbalan Pengarah Bank Negara Malaysia (BNM), Dr Rosli Yaakob berkata, statistik terbaru seperti diumumkan Kementerian Sumber Manusia baru-baru ini dianggarkan memberi kesan kehidupan kira-kira 200,000 individu.

“Kehilangan sumber pencarian bukan sahaja memberi kesan kepada individu yang kehilangan kerja itu sahaja, malah kepada ahli keluarganya juga kerana mereka ini lazimnya salah seorang yang menyumbang kepada ekonomi keluarga masing-masing.

“Lebih parah sekiranya yang hilang pekerjaan itu adalah pencari nafkah tunggal dalam keluarga sama ada seorang suami atau ibu tunggal,” kata Rosli ketika dihubungi SelangorKini di sini.

Jelasnya, tidak mustahil angka sebenar pemberhentian pekerja di Malaysia melebihi statistik dikeluarkan Kementerian Sumber Manusia kerana tidak semua syarikat atau individu melaporkan kepada kementerian itu.

Katanya, selain menjejaskan keupayaan golongan itu memenuhi keperluan hidup keluarga masing-masing, mereka turut hilang keupayaan membayar balik pinjaman perumahan dan kenderaan masing-masing dan sekaligus memberi kesan kepada institusi perbankan.

“Bukan pinjaman perumahan dan kenderaan sahaja, kalau dia peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), dah tentu dia tak juga dapat bayar PTPTN,” katanya.

=EZY=