Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

KEADILAN yakin muafakat mampu selamatkan negara

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 27 MAC: Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) tidak pernah memutuskan hubungannya dengan mana-mana parti sahabat walaupun mempunyai perbezaan pendapat.

Dato’ Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, KEADILAN juga yakin jalinan muafakat yang utuh sahaja mampu menyelamatkan negara daripada terus dirosakkan pihak tidak bertanggungjawab.

“Itu sebahagian proses demokrasi dalam parti sama ada parti PAS atau mana-mana parti tetapi pokoknya yang perlu rakyat ketahui KEADILAN di peringkat pusat, negeri dan cabang tidak pernah memutuskan hubungan dengan sahabat.

“Kita menghormati perbezaan tetapi tidaklah sampai memutuskan hubungan kerana masih yakin dan percaya keperluan satu muafakat yang utuh itu amat penting bagi menyelamatkan negara juga rakyat keseluruhannya. Itu pendirian KEADILAN,” katanya.

AZMINMohamed Azmin berkata demikian ketika diminta mengulas keputusan mesyuarat beberapa kawasan PAS yang mahukan hubungan dengan KEADILAN ditamatkan.

Katanya, perkembangan terbaru itu sesuatu yang normal dalam politik yang akhirnya kepimpinan di peringkat atasan perlu menentukan hala tuju parti masing-masing.

Katanya, perkara itu boleh dielakkan daripada berlaku jika semua pihak meraikan perbezaan dan memegang prinsip ‘setuju untuk tidak bersetuju’.

Beliau berkata, isu sama turut disentuh Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dalam titah ucapan perasmian Istiadat Pembukaan Persidangan Negeri Selangor ke-13 Tahun 2017, hari ini.

“Bagi KEADILAN, saya dah nyatakan ke mana hala tuju kami iaitu meraikan perbezaan. Begitu juga titah tuanku tadi, jika Ahli Dewan Negeri (ADN) memahami prinsip ‘setuju untuk tidak bersetuju’ kerana perjanjian etika ini di dalam Islam cukup kuat.

“Tuanku titah tadi kalau semua pihak meraikan perbezaan, ‘yang kusut boleh dirungkai, seteru boleh berdamai’. Negeri dan negara kita boleh berada dalam keadaan cukup permai dan pesanan ini cukup tajam menusuk hati ADN, maka mereka yang memahami serta menghayati perpaduan itu amat penting dalam memajukan negara juga negeri,” katanya.

-NFN-