Categories
PBT

MDKS tembak dan lupus 543 gagak

OLEH LIZAWATI MADFA

KUALA SELANGOR, 27 MAC: Sebanyak 543 ekor burung gagak berjaya ditembak dan dilupuskan Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS), baru-baru ini.

Yang Dipertuanya, Mohd Azhar Mohamed Ali berkata, operasi siri pertama 2017 itu dibantu 12 penembak berlesen dan profesional dalam usaha mengurangkan spesis gagak, di Kuala Selangor.

Katanya, ia juga bertujuan mengawal populasi burung itu yang menimbulkan rungutan kepada orang awam serta menyebabkan pencemaran najis di kawasan persekitaran pusat bandar.

MDKS GAGAK (3)“Langkah menembak reptilia berkenaan terpaksa dilakukan demi menjaga persekitaran dan kesejahteraan orang ramai. Secara tidak langsung, usaha ini dapat menyekat penularan wabak penyakit.

“Keselamatan orang awam sentiasa menjadi keutamaan semasa operasi dijalankan,” katanya.

Mohd Azhar berkata, MDKS turut menerima maklum balas positif penduduk yang mahukan operasi berkenaan diterus dan dijalankan secara berkala.

“Sudah tiba masa masyarakat mengubah mentaliti mereka seiring menuju ke arah perbandaran dan bersama memainkan peranan dalam menjaga kebersihan serta tidak meletakkan beban kepada pihak berkuasa sahaja,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata, MDKS juga sedang mengenalpasti beberapa kawasan baru terutama di Tanjung Karang yang menjadi tempat pembuangan sampah haram.

“Secara tidak langsung, ia menjadi penyumbang kepada peningkatan populasi burung gagak di kawasan ini.

“Tiada lagi amaran kepada individu yang melakukan pembuangan sampah haram di daerah ini sebaliknya tindakan tegas akan diambil serta-merta jika mereka melakukan kesalahan di bawah peruntukan Undang-Undang Kecil Pemungutan, Pembuangan dan Pelupusan Sampah Sarap (MDKS) 2007,” katanya.

Pada 2016, sebanyak 1,543 ekor burung gagak berjaya ditembak di beberapa kawasan sekitar Kuala Selangor.

-NFN-