Categories
NASIONAL

Kemalangan maut lawan arus, pemandu remaja didakwa salah guna dadah

SHAH ALAM, 17 MAC: Pemandu remaja yang memecut laju kenderaannya melawan arus di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) pada Selasa lalu sehingga menyebabkan kematian pengguna jalan raya lain didakwa menyalahgunakan dadah di Mahkamah Majistret, hari ini.

Ng Pei Ven, 19 dari Butterworth didakwa mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana mengambil dadah berbahaya.

Pertuduhan itu membawa hukuman penjara 2 tahun dan/atau denda RM5,000. Bagaimanapun, dia mengaku tidak bersalah.

Pegawai Pendakwa ASP Md Azman Kadir meminta mahkamah menetapkan ikat jamin tinggi memandangkan kes itu menjadi perhatian umum.

LAWAN ARUSBeliau turut memohon mahkamah menggantung lesen memandu Ng kerana mengakibatkan kematian pemandu lain dan tertuduh wajib menjalani ujian air kencing setiap minggu, jika dia dibebaskan dengan ikat jamin.

Ng yang tidak diwakili peguam merayu Majistret Jamaliah Abd Manap mengurangkan jumlah ikat jamin itu.

Dalam kejadian Selasa lalu, Ng yang memandu Proton Gen-2 melanggar tiga kenderaan sebelum membuat pusingan U beberapa meter dari Plaza Tol Sungai Dua dan memecut melawan arah trafik sejauh 5km di Seberang Perai Tengah.

Ia kemudiannya merempuh Perodua Kelisa dipandu Mohamad Fandi Rosli dan menyebabkan bakal bapa berusia 26 tahun itu meninggal dunia di tempat kejadian.

-nR-