Categories
AGENDA NASIONAL

Pandu lawan arus, pegawai pemasaran didakwa bunuh dua remaja

SHAH ALAM, 20 SEPT: Seorang pegawai pemasaran syarikat swasta yang memandu secara melawan arus sehingga menyebabkan kematian dua remaja didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas dua pertuduhan membunuh.

K. Devaaswin, 24, didakwa membunuh Nur Afiqah Abdul Karim, 18, dan Muhammad Hafiz Syamir Dzul Asri, 19, di Kilometer (KM) 8.6 Lebuhraya Persekutuan arah Klang ke Kuala Lumpur, di Shah Alam pada 1.20 pagi, 12 September lepas.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.

Tiada pengakuan direkodkan kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Majistret Nur Faizah Abdul Sani menetapkan 21 Oktober untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Shukor Abu Bakar manakala Devaaswin diwakili peguam Pushpa Ratnam dan R. Thanuja.

Media sebelum ini melaporkan dua remaja maut selepas kereta jenis Proton Wira dinaiki mereka bertembung dengan sebuah Mitsubishi Triton yang dipandu seorang lelaki secara melawan arus di Lebuhraya Persekutuan dekat sini.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Kemalangan maut lawan arus, pemandu remaja didakwa salah guna dadah

SHAH ALAM, 17 MAC: Pemandu remaja yang memecut laju kenderaannya melawan arus di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) pada Selasa lalu sehingga menyebabkan kematian pengguna jalan raya lain didakwa menyalahgunakan dadah di Mahkamah Majistret, hari ini.

Ng Pei Ven, 19 dari Butterworth didakwa mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana mengambil dadah berbahaya.

Pertuduhan itu membawa hukuman penjara 2 tahun dan/atau denda RM5,000. Bagaimanapun, dia mengaku tidak bersalah.

Pegawai Pendakwa ASP Md Azman Kadir meminta mahkamah menetapkan ikat jamin tinggi memandangkan kes itu menjadi perhatian umum.

LAWAN ARUSBeliau turut memohon mahkamah menggantung lesen memandu Ng kerana mengakibatkan kematian pemandu lain dan tertuduh wajib menjalani ujian air kencing setiap minggu, jika dia dibebaskan dengan ikat jamin.

Ng yang tidak diwakili peguam merayu Majistret Jamaliah Abd Manap mengurangkan jumlah ikat jamin itu.

Dalam kejadian Selasa lalu, Ng yang memandu Proton Gen-2 melanggar tiga kenderaan sebelum membuat pusingan U beberapa meter dari Plaza Tol Sungai Dua dan memecut melawan arah trafik sejauh 5km di Seberang Perai Tengah.

Ia kemudiannya merempuh Perodua Kelisa dipandu Mohamad Fandi Rosli dan menyebabkan bakal bapa berusia 26 tahun itu meninggal dunia di tempat kejadian.

-nR-