Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Kempen hak wanita sempena Hari Wanita Sedunia

OLEH SYAZWANI SUFIAN

DAMANSARA, 2 MAC: Beberapa Pusat Khidmat Masyarakat ADN dan Pusat Wanita Berdaya (PWB) akan melancarkan kempen hak wanita bagi meningkatkan kesedaran golongan itu di Malaysia sempena Hari Wanita Sedunia, pada 8 Mac ini.

Kempen itu anjuran bersama Pusat Khidmat Masyarakat ADN Damansara Utama, Subang Jaya, Kinrara, Pusat Komuniti Rakyat Serdang, PWB Damansara Utama, PWB Seri Kembangan, PWB Puchong, PWB Subang Jaya dan Ahli Majlis daripada Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dan Majlis Perbandaran Kajang (MPKj)

ADN Damansara Utama, Yeo Bee Yin berkata, kempen itu akan berlangsung sepanjang bulan ini dengan slogan #kamilayak #kamisokong bagi memberi kesedaran hak wanita di Malaysia harus dipandang serius.

hak wanita (1)“Ramai yang merasakan lelaki dan wanita sudah sama rata memandangkan wanita juga kini boleh mendapat pendidikan, bekerja serta mempunyai hak untuk memilih dan dipilih termasuk dalam konteks pilihan raya.

“Namun, sebenarnya masih banyak ruang penambahbaikan perlu dibaiki bagi merapatkan renggang gender di Malaysia,” katanya ketika majlis pelancaran Kempen Hak Wanita di Pejabat Pusat Khidmat ADN Damansara Utama, di sini, hari ini.

Bee Yin berkata, kesetaraan gender bukan hanya membabitkan hak wanita, malahan membabitkan soal manfaat keseluruhan bagi sesebuah negara.

Katanya, World Economic Forum (WEF) melaporkan indeks jurang gender sedunia tahun lalu meletakkan Malaysia di tangga 106 dari 144 negara iaitu menilai bagaimana sesebuah negara menggunakan sumber wanita berasaskan indikator ekonomi, pendidikan, kesihatan dan politik.

“Walaupun dilihat tanpa halangan yang jelas, diskriminasi langsung dan corak halangan terlindung menghalang wanita mencapai potensi terbaik dalam lapangan ekonomi serta politik.

“Untuk itu, kita akan mengeluarkan banyak kenyataan bagi membincangkan isu dan dasar berkaitan wanita dalam ekonomi, politik serta masyarakat secara keseluruhan dalam tempoh sebulan ini,” katanya.

-NFN-