Categories
BERITA UTAMA PENDIDIKAN SELANGOR

10 anak pekerja ladang terima bantuan pengajian RM42,940

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 2 MAC: Nasib masyarakat pekerja ladang di bawah Kerajaan Negeri tidak pernah dilupakan apabila 10 pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) yang juga anak kepada golongan itu diberikan bantuan pengajian RM42,940.

Exco Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin, V Ganabatirau berkata, fasa pertama bagi tahun 2017 itu dibayar terus kepada IPT terbabit sebagai yuran pengajian masing-masing.

“Bantuan ini diberikan melalui geran RM1 juta yang disediakan Kerajaan Negeri dan pagi ini setiap pelajar menerima bantuan antara RM2,500 hingga RM5,000 bergantung kepada keperluan yuran pengajian masing-masing.

Anak Pekerja Ladang (2)“Kita harap bantuan ini dapat membantu meringankan bebanan ibu bapa mereka, sekali gus membolehkan anak ini lebih fokus kepada pelajaran masing-masing,” katanya selepas menghadiri Majlis Penyerahan Bantuan Pengajian IPT Anak Pekerja Ladang 2017 di pejabat beliau di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri, di sini, hari ini.

Katanya, 10 penerima kali ini adalah anak pekerja ladang yang sedang mengikuti pengajian di Univesiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Selangor, Universiti Teknikal Malaysia Melaka, Universiti Malaysia Perlis, Management Science University, Koperasi Politeknik Seberang Prai, Tan Chong Education dan UCSI Education.

Katanya, beliau yakin akan menerima lebih banyak permohonan sepanjang tahun ini.

“Tahun lalu, kami meluluskan kira-kira 60 permohonan dan tahun 2015 pula lebih 30 permohonan bantuan pengajian tinggi ini,” katanya.

Katanya, antara syarat yang perlu dipenuhi pemohon anak pekerja ladang itu, ibu bapa mereka perlu berpendapatan di bawah RM1,500 sebulan dan selain itu pihak beliau turut memberi keutamaan kepada golongan anak pekerja ladang yang terdiri daripada golongan kelainan upaya (OKU).

-NFN-