Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Kerajaan Pusat belum ada keputusan, SPLASH tangguh enam bulan lagi

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 30 MAC: Pengambilalihan konsesi membabitkan Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor Sdn Bhd (SPLASH) dilanjutkan enam bulan lagi ekoran permintaan Kerajaan Persekutuan yang masih belum mendapat keputusan penilai bebas antarabangsa.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, keputusan secara bertulis itu diterima Kerajaan Negeri, pada 14 Mac ini.

Katanya, Kerajaan Persekutuan memaklumkan perkiraan lanjutan itu kepada tempoh, sehingga 5 Oktober ini.

“Berdasarkan penjelasan itu, ia menunjukkan kelewatan dalam memuktamadkan penstrukturan semula industri air bukan berpunca daripada Kerajaan Negeri.

“Ia berpunca daripada lanjutan Kerajaan Persekutuan bagi membolehkan jemaah menteri dapat menilai kos sebenar daripada penilai bebas antarabangsa,” katanya menjawab pertanyaan Ahli Dewan Negeri Bukit Gasing, R Rajiv.

MB AZMINPada masa sama, Mohamed Azmin berkata, Air Selangor menanggung RM3.7 bilion menerusi kos operasi kadar bayaran pukal air dan bayaran tetap bulanan kepada SPLASH, sehingga 31 Disember 2016.

“Kerajaan Negeri tidak menanggung kos akibat kelewatan pengambilalihan ini, namun ia memberi tekanan kewangan kepada Air Selangor dalamdua kadar bayaran itu dan ia terus meningkat setiap bulan.

“Namun, Air Selangor akan memastikan tekanan kewangan itu diuruskan dengan baik demi menjamin kepentingan pengguna dan tidak membebankan rakyat,” katanya.

Beliau berkata, Kerajaan Negeri menggesa Kerajaan Persekutuan supaya pengambilalihan itu dapat dimuktamadkan segera demi menjamin ketelusan dan keterbukaan.

Sementara itu, Mohamed Azmin turut menolak cadangan R Rajiv yang mencadangkan menggunakan kaedah ‘expropriation clause’ bagi menamatkan konsesi SPLASH.

Katanya, hal itu kerana dianggarkan kos pampasan akan meningkat kepada RM4.9 bilion jika menggunakan kaedah itu, setakat 31 Mac 2015.

“Jika dibandingkan dengan kos pengambilalihan ekuiti SPLASH, kos ini lebih tinggi.

“Melalui kaedah ini, bayaran kos operasi kadar bayaran pukal air dan bayaran tetap bulanan yang tertunggak masih perlu dibayar Kerajaan Negeri kepada SPLASH selain nilai aset juga modal berbayar seperti dinyatakan dalam perjanjian konsesi.

“Oleh itu, Kerajaan Negeri tidak bercadang untuk menggunakan kaedah ini kerana membebankan rakyat. Dalam kaedah rundingan bersama, Kerajaan Persekutuan bersetuju untuk membiayai proses pengambilalihan SPLASH melalui ekuitinya,” katanya.

-NFN-