Categories
NASIONAL

Korea Utara wajib visa ke Malaysia

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 2 MAC: Setiap warganegara Korea Utara berhasrat mengunjungi Malaysia diwajibkan memohon visa, berkuatkuasa 6 Mac ini, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata, keputusan berkenaan sudah dimuktamadkan dan bakal dilaksanakan Kementerian Dalam Negeri (KDN) serta Jabatan Imigresen Malaysia.

Katanya, Korea Utara dan negara lain perlu menghormati kedaulatan Malaysia serta menghargai kerjasama yang diberikan selama ini.

“Ini kes berprofil tinggi dan Malaysia sekali lagi menjadi perhatian dunia.

“Tetapi kita lihat diplomat dari luar khususnya Korea Utara langsung tidak menghormati Malaysia dan memporak-perandakan negara ini, saya ingin bagi nasihat supaya mereka sedar tidak boleh lakukan sewenang-wenangnya,” katanya lapor Astro Awani.

Menyentuh status reman suspek warga Korea Utara, Ri Jong Chol, 47, yang bakal berakhir esok (3 Mac), Zahid berkata, pihaknya masih menunggu nasihat penasihat undang-undang negara.

Katanya, perkara itu akan diumumkan hari ini sama ada suspek akan ditahan dibawah Akta Imigresen kerana melebihi tempoh lawatannya ke Malaysia.

Screen Shot 2017-02-14 at 10.14.22 PMAhmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri turut mengesahkan Pegawai Kanan Korea Utara, Ri Tong sudah bertemu wakil Wisma Putra semalam, namun hasil pertemuan masih belum diketahui.

Pada 28 Februari lalu, Ri Tong yang juga bekas duta Korea Utara ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu tiba di Malaysia bagi bertemu pegawai Kerajaan Persekutuan berhubung kes kematian Jong-Nam.

Pada 13 Februari lalu, Jong-Nam disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Putrajaya, selepas terkena racun ajen saraf VX.

Sebelum ini, Kedutaan Korea Utara menuduh Kerajaan Persekutuan tidak memberi kerjasama dalam usaha mereka menuntut mayat Jong-Nam.

Bagaimanapun, Kerajaan Persekutuan bertegas proses menuntut mayat hanya boleh dilakukan keluarga dan dibuktikan menerusi profil DNA.

Sehingga kini, tiada ahli keluarga atau waris tampil menuntut mayat Jong-Nam.

-AA-