Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Lepasi sasaran 15,000 unit, Selangor optimis sedia 30,000 Rumah Selangorku

OLEH ERMIZI MUHAMAD

BATANG KALI, 18 MAC : Kejayaan menyediakan 22,494 unit Rumah Selangorku dengan melepasi sasaran awal 15,000 unit mendorong Kerajaan Negeri untuk kekal optimis mampu menyediakan 30,000 unit rumah mampu milik itu menjelang 2018.

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar, Dato’ Iskandar Abdul Samad berkata, jumlah tersebut mampu dicapai berpandukan kepada tuntutan untuk menyediakan projek perumahan mampu milik di negeri ini.

“Sasaran (terkini) kita adalah sebanyak 30,000 unit untuk dilancarkan pada 2018 dan di pihak Kerajaan Negeri kita tiada masalah untuk menyediakan keperluan unit itu.

“Namun cuma masalah yang timbul adalah dari segi pinjaman oleh pembeli apabila mereka gagal mendapat pembiayaan (bank).

“Tetapi kita ada menyediakan beberapa skim seperti Dana Sel yang membolehkan pembeli menyewa rumah terlebih dahulu dan pembayaran sewaan itu akan ditolak untuk milikan selanjutnya,” katanya.

Bagaimanapun Iskandar berkata, kemampuan Kerajaan Negeri kini terhad susulan kegagalan Putrajaya memastikan Bank Negara melonggarkan syarat pembelian rumah.

Beliau berkata, polisi Bank Negara menetapkan syarat pembelian yang terlalu tinggi sekali gus menyukarkan pembeli mendapat pinjaman dari bank tempatan.

“Dalam keadaan sekarang ini, tidak guna kalau sediakan unit rumah yang banyak sekiranya mereka gagal mendapat pinjaman dari bank.

“Ini bermakna Bank Negara perlu melihat kembali polisi bagaiamana untuk membantu dan memudahkan rakyat dapat mendapatkan pinjaman,” katanya.

Iskandar bercakap kepada pemberita pada sidang media Majlis Penyerahan Kunci Rumah Selangorku Idaman PKNS Antara Gapi, pada Jumaat.

Terdahulu, projek rumamh mampu milik yang dimulakan melalui program Rumah Selangorku dimulakan sejak 2013 lalu diwujudkan baagi membantu masyarakat Selangor memiliki kediaman selesa dan berkualiti pada kadar berpatutan.

=EZY=