Categories
PENDIDIKAN SELANGOR

Sukan Antara Fakulti UNISEL semarak gaya hidup sihat kampus

OLEH HAFIZAN TAIB

BESTARI JAYA, 18 MAC: Kejohanan Sukan Antara Fakulti Kali Kedua Universiti Selangor (UNISEL) 2017 berlangsung jaya dengan penyertaan lebih ramai pelajar berbanding kejohanan sebelumnya.

Naib Canselor UNISEL, Prof Dato’ Dr Mohammad Redzuan Othman, berkata dengan jumlah penyertaan lebih besar, ia memberi kebaikan kepada UNISEL dalam mempelbagaikan aktiviti dan memakmurkan kampus.

“Ini adalah sebahagian daripada usaha UNISEL untuk memakmurkan kampus kerana beberapa isu timbul sejak beberapa tahun apabila pelajar mengosongkan kampus apabila tiba hujung minggu tetapi dengan adanya aktiviti sebegini, ia memberi peluang pelajar untuk turut serta dan mengadakan aktiviti untuk kampus.

‘Ternyata kemeriahan ditunjukkan membuktikan kampus akan terus hidup pada hujung minggu dan saya kira ia mencapai matlamatnya kerana pelajar menunjukkan komitmen tinggi dan kesediaan untuk terbabit dalam program sukan dirancang,” katanya kepada SelangorKini selepas majlis perasmian sukan berkenaan di sini, semalam.

Majlis perasmiannya disempurnakan Exco Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan, Amirudin Shari.

Beliau berkata, dengan kejayaan penganjuran kejohanan itu UNISEL merancang untuk mengadakannya lebih baik pada masa depan dengan menambah acara supaya dapat disertai lebih ramai pelajar.

Katanya, UNISEL akan menggunakan semua kemudahan dimiliki demi kebaikan seperti pusat latihan sukan kayak yang berpotensi untuk dimajukan.

“Sudah tentu matlamat lebih besar untuk mencungkil bakat baru dalam bidang sukan dan saya yakin aktiviti sebegini akan mampu merealisasikannya pada masa akan datang.

“Kejohanan ini mampu diadakan lebih baik melalui perancangan rapi dengan penyertaan penaja kerana matlamat UNISEL bukan setakat menganjurkannya tetapi melahirkan bakat atlet peringkat nasional dan antarabangsa,” katanya.

Kejohanan Sukan Antara Fakulti Kali Kedua UNISEL 2017 berlangsung di Kompleks Sukan UNISEL di sini.

Ia disertai Fakulti Perniagaan dan Perakaunan, Fakulti Komunikasi, Seni Visual dan Pengkomputeran, Fakulti Pendidikan dan Sains Sosial, Fakulti Kejuruteraan dan Sains Hayat serta Fakulti Pembangunan Pengajian Asasi.

=EZY=