Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

LZS daftar Pak Akob asnaf fakir, usaha bantuan bulanan

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 9 MAC: Kisah daif warga emas dikenali Pak Akob tinggal seorang diri di dalam pondok kebun yang menjadi tular di laman sosial mendapat perhatian Lembaga Zakat Selangor (LZS).

Ketua Operasi Agihan Daerah Kuala Langat, Mohd Shukri Hushin berkata, hasil siasatan mendapati Pak Akob atau nama sebenarnya Mohd Yaacob Kasan bujang dan tinggal bersendirian di pondok yang dibina di dalam sebuah kebun di Kampung Bandar, Banting.

Katanya, warga emas berusia 57 tahun itu tidak mempunyai pendapatan khusus dan tidak menerima bantuan lain.

zakat 1“Beliau sesekali hanya mengambil upah mengutip biji sawit di kebun pusaka keluarga dengan pendapatan RM200 sebulan.

“LZS sudah mendaftarkannya sebagai asnaf fakir dan proses bantuan kewangan bulanan masih dalam proses. Namun, beliau tidak mahu meninggalkan pondok itu walaupun kita sudah memujuknya untuk tinggal di rumah orang tua LZS,” katanya ketika lawatan ke pondok Pak Akob.

Shukri berkata, Ketua Kampung akan membuat permohonan rumah kerajaan prihatin dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselataman Kampung akan melakukan gotong-royong membina rumah lebih baik jika gagal.

Sementara itu, Ahli Parlimen Kuala Langat, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid berkata, pihaknya sudah melakukan lawatan ke pondok berkenaan, namun gagal bersua muka ekoran warga emas itu dipercayai menyorok di dalam kebun.

Katanya, pihaknya sudah menghantar permohonan kepada Dato’ Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali untuk membina rumah baru bagi mengantikan pondok terbabit.

-NFN-