Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Selangor kukuh hubungan dengan Taiwan

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 9 MAC: Kerajaan Negeri bakal mengadakan lawatan ke Taiwan bagi meningkatkan kerjasama dan mengukuhkan hubungan dua hala Selangor dan Taiwan, bulan hadapan.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, pihaknya berhasrat menjalin kerjasama dalam bidang penyelidikan dan kemajuan teknologi antara universiti serta institusi pendidikan.

Katanya, Selangor juga berminat mempelajari pengalaman Taiwan dalam bidang pendidikan teknikal dan vokasional serta kepakarannya dalam ‘Smart Industries’.

MB Taiwan (3)“Antara lain, kami mengukuhkan strategi pelaburan dengan menggalakkan industri halal menerusi penubuhan Majlis Halal Antarabangsa Selangor, malahan mewujudkan eko sistem Halalan Toyyiban global yang pertama di dunia.

“Peserta menerusi program ini berpeluang mengembangkan industri halal menerusi proses pembelajaran berterusan dan kemajuan teknologi,” katanya ketika menerima kunjungan deligasi Taiwan di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), di sini, semalam.

Mohamed Azmin berkata, Kerajaan Negeri juga giat mempromosi ekosistem bagi industri aeroangkasa, bioteknologi dan sains hayat di Selangor.

“Kami sangat mengalu-alukan syarikat dengan sektor berteknologi tinggi untuk bertapak di Selangor.

“Kami sentiasa mahukan situasi menang-menang yang kamu mampu memaksimumkan pulangan pelaburan sementara kami dapat pastikan manfaat untuk rakyat dan ekonomi setempat menerusi peluang pekerjaan, pindahan teknologi serta peningkatan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK),” katanya.

-NFN-